Cerpen AKU INGIN TERBANG TANPA SAYAP Oleh Rose Salvia
AKU INGIN TERBANG TANPA SAYAP Oleh Rose Salvia Disiarkan dalam Harian Express Ruangan Sastera & Budaya bertarikh 11 Ogos 2019 Matanya tenang menatap nasi tanpa lauk yang hanya dua genggam besarnya di dalam piring plastik berwarna jingga itu. Kunyahannya perlahan melumat setiap butiran nasi sebagai tanda menikmati satu kesyukuran pemberian Tuhan. Walau hanya nasi tanpa lauk, namun dia tetap menghargainya dan tidak ada satu pun butiran nasi yang ditinggalkan malah yang terjatuh di luar piring tetap dikutip dan dimasukkan ke dalam mulutnya. Piringnya licin selicin kepala botak Pak Anton jiran sebelah rumahnya. Nasi yang sudah dikunyah sepuasnya itu melalui kerongkongnya dengan lancar selancar kepasrahannya menerima takdir hidupnya ketika itu. Hatinya yang duka terubat melihat dua orang anak lelakinya itu makan dengan lahap nasi berlaukkan ikan basung goreng. Walau ikannya kecil namun kenikmatan dalam menjamah hidangan makan malam itu seolah satu keraian bagi dua ...