Cerpen AKU INGIN TERBANG TANPA SAYAP Oleh Rose Salvia


AKU INGIN TERBANG TANPA SAYAP
Oleh Rose Salvia




Disiarkan dalam Harian Express
Ruangan Sastera & Budaya bertarikh 11 Ogos 2019

Matanya tenang menatap nasi tanpa lauk yang hanya dua genggam besarnya di dalam piring plastik berwarna jingga itu. Kunyahannya perlahan melumat setiap butiran nasi sebagai tanda menikmati satu kesyukuran pemberian Tuhan. Walau hanya nasi tanpa lauk, namun dia tetap menghargainya dan tidak ada satu pun butiran nasi yang ditinggalkan malah yang terjatuh di luar piring tetap dikutip dan dimasukkan ke dalam mulutnya. Piringnya licin selicin kepala botak Pak Anton jiran sebelah rumahnya. Nasi yang sudah dikunyah sepuasnya itu melalui kerongkongnya dengan lancar selancar kepasrahannya menerima takdir hidupnya ketika itu. Hatinya yang duka terubat melihat dua orang anak lelakinya itu makan dengan lahap nasi berlaukkan ikan basung goreng. Walau ikannya kecil namun kenikmatan dalam menjamah hidangan makan malam itu seolah satu keraian bagi dua anak kecil yang masih mentah dalam mengenal erti keperitan hidup.

            “Aku tidak akan mengalah pada kehidupan ini. Aku tidak akan berhenti dalam perjuangan hidupku selagi nafas ini masih menghiasi jantungku.”

Normala mengiring dalam posisi baring dan matanya memandang sayu anak- anaknya. Hatinya bertambah pilu melihat selimut lusuh yang menutupi tubuh mereka. Gambar bunga mawar merah yang dahulu tersergam indah kini tidak lagi dapat dikenal pasti bentuk bunganya, malah warnanya pudar menambah kelesuan pandangan. Namun semua itu tidak penting bagi mereka anak beranak. Kesejukan pagi yang selalu mengintip lubang- lubang pada rumah papan mereka itu yang perlu dihangatkan dari terus menerpa kulit tubuh anak- anaknya.

            “Maafkan mama kerana tidak dapat memberikan kemewahan buat anak-anak mama.”

Hiba hati Normala mengenangkan perjalanan hidup kedua- dua anaknya yang terpaksa melalui kehidupan bersamanya yang serba kekurangan. Kalau boleh dia mahu memberikan segala- galanya buat anak- anaknya namun dia hanya seorang ibu tunggal yang tidak punya pendidikan tinggi. Dia hanya sempat belajar sehingga darjah empat. Kedaifan hidup membuatkannya berhenti sekolah bagi membantu ibunya mencari nafkah dengan menjaja kuih dan mengerjakan bendang. Normala terpaksa mengalah demi adik- adiknya dan ditambah lagi  dengan keadaan ayahnya yang terlantar sakit ketika itu. Sifat tanggungjawabnya sebagai seorang anak sulung sangat tebal dalam dirinya.

 Air mata Normala menitik perlahan melalui pipinya yang halus. Dia tidak perlukan walau secalit pun bedak kerana wajahnya sangat bersih tanpa cacat cela. Walau membesar penuh kekurangan dan kulitnya sentiasa disiram dengan bahang matahari, namun kulit wajahnya tetap sempurna. Malah adik- adik perempuannya merasa iri dengan kesucian kulit wajah Normala itu.

            “Sawah itu akan aku jual untuk membesarkan syarikat. Kakak tidak perlu lagi mengusahakan sawah itu.”

Kata- kata adik lelakinya yang bongsu itu bagai halilintar menerjah ke hatinya. Tanah sawah seluas empat ekar itu adalah satu- satunya sumber dia mendapatkan rezeki selama ini. Malah dia tidak pernah kedekut apabila tuaiannya diperoleh. Dia tetap memberikan adik- adiknya seguni beras setiap seorang. Walau ketiga- tiga adiknya menetap di bandar namun dia tidak pernah lupa pada mereka. Dia akan menghubungi mereka untuk mengambil beras hasil tuaiannya dan tidak sedikitpun dia mengharapkan balasan apatah lagi bayaran.

            “Tolonglah Jack. Tidakkah ada cara lain? Sawah ini adalah satu-satunya peninggalan ayah dan ibu kita.”

Dia cuba untuk mempertahankan sawah itu tetapi hanya kata- kata hinaan yang diterima sebagai balasan. Air matanya yang menitis langsung tidak memberi kesan di hati adik- adiknya. Tangisannya hanyalah umpama kebisingan yang membingitkan suasana tamak dan mementingkan diri di fikiran dan hati mereka.

            “Kakak dah bertahun guna sawah itu. Dah berpuluh tahun jadi petani. Cukuplah!”

Adik perempuannya Noren bersuara setelah lama mendiamkan diri. Pandangannya seolah menyampah melihat kakaknya yang sedang menangis. Dia geli pada kemiskinan kakaknya. Perutnya terasa memulas melihat pakaian lusuh kakak dan anak- anak buahnya itu. 

            “Kami sudah ada pembeli. Wang jualan akan kami bahagi bertiga. Kakak boleh simpan rumah buruk ini dengan tapaknya sekali.”

            Angkuh kata- kata itu tanpa memandang wajah Normala. Kedua- dua anak Normala hanya memerhati dari jendela kayu. Jack, Noren dan Wanna memandang sekilas kedua anak buah mereka itu, tidak ada kemesraan mahupun hasrat hati untuk menyapa mereka.

            “Kamu semua lulusan universiti. Berjawatan tinggi….”

Normala tidak sempat menghabiskan ayat itu. Ketiga- tiga mereka terus berjalan pergi meninggalkannya berseorangan di hadapan tangga kayu rumahnya. Pantas langkah mereka seolah mahu meninggalkan kawasan kampung itu dengan secepat mungkin. Deruman kereta mewah membuatkan jiran- jiran keluar menjenguk dengan pandangan kagum.

Normala memandang sayu melihat tingkah adik- adiknya yang sangat mengecewakannya. Dia tidak pernah mengharapkan ehsan apatah lagi merayu selama ini pada mereka. Pengorbanannya sebagai seorang kakak hanya dipandang hina oleh adik- adiknya.

            “Tidak apalah Mala. Nanti bila adik- adik kamu sudah tamat universiti. Kamu pasti akan tumpang senang sekaki. Adik kamu pasti akan membantu kamu.”

Kata- kata ibunya suatu ketika dahulu kini hanya tinggal satu kenangan. Pengorbanannya membantu mencari wang untuk menyekolahkan adik- adiknya tidak pernah dipedulikan malah dianggap sebagai satu budi yang tidak bererti.

            “Bukan kami yang memaksa kakak berhenti sekolah! Bukan kami yang minta kakak sekolahkan kami!”

Sedih hati Normala mengenangkan adik- adiknya yang langsung tidak mengenang budinya. Dia bukan mahu balasan tetapi syukurlah jika selepas kerja adik- adiknya datang melawat ibu mereka. Namun, sejak tamat universiti dan bekerja di bandar, adik-adiknya jarang menjenguk dia dan ibunya di kampung. Mereka hanya datang untuk mengambil beras dan kemudian bergegas pergi dengan angkuh. Semasa hari pengebumian ibu mereka, mereka kelihatan seperti cacing kepanasan seolah tidak pernah membesar di rumah papan itu. Dan kini setelah sekian lama, muncul kembali dengan agenda untuk menjual tanah sawah milik mereka adik- beradik.

Normala tidak sanggup melihat tanah peninggalan ayah dan ibu mereka jatuh ke tangan orang lain namun dia tidak berdaya. Dia telah hilang tempat berteduh sejak tiga tahun yang lalu. Suaminya hilang di laut setelah kapal yang mereka naiki terbalik dipukul ombak. Dua hari kemudian, mayat suaminya bersama dua kawan lain ditemui di tepi pantai oleh orang kampung.

Sehingga kini, Normala hanya mahu meneruskan kehidupan dengan membesarkan anak- anaknya. Cintanya sudah terkubur bersama arwah suaminya. Kesetiaannya yang akan kekal dibawa hingga ke noktah akhir hidupnya.
****
            “Jangan kamu bersedih lagi. Mungkin rezeki kamu setakat itu saja dengan sawah padi itu. Apa kata kalau kamu cuba buat kerepek….Aku akan bantu kamu jual di geraiku nanti.”

Dali, sahabat baiknya sejak kecil menyuarakan pendapatnya apabila melihat kerunsingan Normala itu. Dali mengetahui banyak tentang kehidupan Normala malah pada Normala jugalah tempatnya mengadu sejak suaminya turut terkorban oleh amukan gelora laut tiga tahun yang lalu. Dia dan Normala sama- sama kehilangan ketua keluarga. Dia ditinggalkan keseorangan kerana mereka belum lagi dikurniakan zuriat. Sejak itu, Dali sering membantu Normala walaupun tanpa dipinta. Baginya persahabatan itu tidak perlukan kata-kata bantuan tetapi sahabat sebenar akan prihatin pada kekurangan dan sedia menghulur bantuan selagi mampu.

Normala hanya tersenyum mendengar kata- kata sahabatnya itu. Pemandangan sawah yang terbentang luas di hadapannya itu ditatap buat kali terakhir. Tanah sawah itu kini bukan lagi mata pencariannya. Matanya sayu melihat tanah yang diusahakan oleh dia dan ibunya puluhan tahun dahulu kini sudah bertukar tangan.

            “Mala, hapuskanlah air matamu. Senyumlah kerana di hadapan ada rezeki lain yang menanti. Bukankah aku pernah kata? Senyuman yang paling indah adalah senyuman dari bibir seorang yang berjuang melawan air mata.”

Normala tersenyum mendengar kata- kata itu. Dia mengelap air matanya menggunakan sapu tangan merah jambu yang diambilnya dari poket seluar panjangnya. Lama kemudian baru dia bingkas bangun.

            “Dali, hati aku sakit…bantu aku untuk bangkit. Aku perlukan kamu.”

Dali memeluk Normala. Mereka bertangisan membuang semua kemelut di hati yang selama ini membelenggu dan menjadi beban di hati. Mereka berdua menarik nafas rasa lapang setelah semua dilepaskan dibawa oleh air mata yang mengalir jauh dari lubuk hati.

            “Dali, aku ingin terbang bebas. Aku cemburu melihat burung yang punya sayap. Lihatlah betapa megahnya mereka terbang di atas kita. Bebas tanpa perlu memikirkan masalah di darat. Aku ingin terbang walau tanpa sayap seperti mereka.”

Dali terbungkam seketika mendengar kata- kata Normala itu. Hatinya sedih melihat sahabatnya yang ditindas oleh adik- adik kandungnya sendiri. Dali kenal benar dengan hati budi Normala, dia bukan sahaja seorang yang baik hati tetapi lebih suka mengalah dari bergaduh dengan adik- adiknya kerana sayangkan adik- adiknya.
*****
             “Tolonglah tuan. Tolonglah usahakan untuk mencari sahabatku dan anak- anaknya.”

Dali merayu dan badannya yang lemah kerana sudah dua hari dia tidak menjamah nasi. Dia jatuh terjelopok di kaki seorang pegawai bomba yang bertugas. Lautan masih bergelora dan cuaca masih tidak mahu berkompromi dengan kesedihan Dali. Ingatan Dali kembali ke peristiwa dua hari yang lalu. Air matanya deras mengalir dari pipinya.


            “Dali, aku mahu bersiar- siar di tepi laut petang ini bersama dengan anak- anakku. Esok aku mahu mulakan hidup baru.”

Dali hanya menganggukkan kepala. Dia hanya memerhatikan Normala bersama anak- anaknya menarik perlahan perahu kecil peninggalan arwah suaminya yang sudah lama terikat di batang pokok kelapa di tepi laut itu. Kedua- dua anak Normala kelihatan gembira dan kegirangan membantu ibu mereka menarik perahu kecil itu. Suasana petang di perkampungan nelayan itu kelihatan indah dengan kelibat nelayan- nelayan yang mula memudiki tepi pantai dengan hasil tangkapan masing- masing.   

Dali hanya membiarkan semuanya kerana dia mahu Normala bertenang seketika dan esok perancangan baru akan dibuat. Dia sudahpun memikirkan untuk membantu Normala memasarkan kerepek pisang dan ubi itu nanti. Mereka sudah membincangkan beberapa strategi untuk menjadi usahawan kerepek di kampung itu. Sebelum inipun, semasa menunggu musim menuai, Normala selalu membuat kerepek untuk dijual dan kerepeknya yang sedap itu sentiasa mendapat pujian dan laris.

            “Maafkan kami. Esok kita akan teruskan operasi menyelamat. Laut semakin bergelora dan malam semakin lewat.”

Namun semua itu sudah berakhir setahun yang lalu. Normala dan kedua anaknya tidak ditemui sehingga kini. Mereka bertiga hilang tanpa khabar. Berbagai andaian dari orang kampung bahawa perahu kecil itu mungkin hancur dibadai ombak. Ada juga yang mengatakan mungkin mereka hanyut dibawa pergi ke dalam lautan luas untuk menoktahkan penderitaan di darat. Pelbagai andaian yang dicipta oleh manusia namun relaitinya tiada siapa yang tahu.
****

Jack, Noren dan Wanna memandang rumah kayu di hadapan mereka dengan pandangan hiba. Rumah peninggalan ibu bapa mereka yang sudah terlalu usang dan rumah itu jugalah yang menjadi tempat berlindung kakak sulung mereka bersama dengan dua anak buah mereka.

            “Ibu, kami janji kalau kami sudah tamat universiti dan kerja nanti. Kami akan bina rumah yang besar dan paling cantik di kampung kita untuk ibu dan Kak Mala.”

Kata-kata itu mula bermain di fikiran mereka melihat rumah yang mula menunjukkan masa untuk rebah menyembah bumi. Rumah itu sudah hampir setahun kosong tanpa penghuni sejak kehilangan kakak dan anak- anaknya di lautan.

            “Maafkan kami kak Mala. Kami tidak mengenang budi. Maafkan kami ibu. Kami tidak tunaikan janji kami. Kami angkuh. Kami lupa diri.”

Air mata keinsafan mula menitis perlahan. Namun semuanya sudah terlambat. Ibu, Normala dan anak- anaknya sudah tiada.

“Terbanglah Mala. Kamu pasti sudah menemui sayapmu. Terbanglah tinggi bersama- sama dengan anak- anakmu.”

Dali menabur kelopak mawar merah di tepi lautan. Dia tersenyum memandang burung- burung yang terbang semakin tinggi di langit. Bebas menjauhi penderitaan kehidupan.


………………Tamat…………..






Comments

Popular posts from this blog

Buku Antologi Cerpen 7 Tahun Mencintaimu Oleh Penulis- Penulis Sabah

Cerpen Anak Syurga oleh Salvia Rose

Puisi Si Rama- Rama Oleh Salvia Rose