Cerpen Anak Syurga oleh Salvia Rose
Tajuk Cerpen : Anak Syurga
Penulis : Salvia Rose
Hidupku
tidak seindah burung-burung yang terbang bebas di awan biru. Aku hanya sebatang
tubuh yang tidak bisa berjasa pada insan yang melahirkan aku. Aku terpaksa akur
dalam keterpaksaan. Aku terpaksa mengalah pada sebuah perjuangan yang belum aku
tempuhi dan terokai pengalamannya. Aku terpaksa pasrah walau hatiku tidak ingin
mengalah. Sesungguhnya, kudratku tidak mengizinkan aku untuk melangkah apatah
lagi untuk melakukan sesuatu seperti manusia normal yang lain. Aku kalah pada
perjuangan fizikal namun satu yang tidak orang lain ketahui, hatiku tidak
pernah mengalah dan jantungku tetap berdegup kerana aku tidak mahu terus kecundang
dalam kehidupan.
Aku
hanya terbaring di atas tilam yang sudah sebati baunya dengan diriku ini. Tilam
yang sering diangkat keluar ke ampaian, dijemur untuk menghilangkan bau
hancing. Aku hanya mampu memandang dengan pandangan kosong, aku tidak bisa
mengerakkan kaki atau tanganku. Semuanya terasa lemah dan tidak bisa aku
angkat. Tulang pada leherku juga terasa lemah. Walau semua ini bukan kupinta,
namun takdir ini terpaksa aku terima. Aku malu kerana usiaku yang sudah pun
menjangkau 15 tahun tetapi aku masih tidak mampu untuk mengurus diri sendiri.
Aku hanya bisa menanti orang lain menyelesaikan semuanya untukku. Walau semua
anggota tubuhku lemah pada realiti, tetapi jantung dan otakku masih berfungsi
senormal pancaran matahari yang mengeringkan tilam nipisku. Perasaan maluku
terpaksa aku pendam jauh di lubuk yang tidak bernama kerana aku pasrah dengan
kekuranganku.
***
Hari
ini ibu akan pulang dari berkursus. Sudah dua hari aku ditinggalkan oleh ibu
dengan pengasuh yang digajikannya untuk menjagaku sepenuh masa. Aku tidak dapat
melahirkan rasa gembiraku dengan kata- kata. Lidahku terasa kaku dan terbelit
pada rongga mulutku sendiri. Aku rindu pada ibu. Aku rindukan kehangatan
pelukan ibu dan air mata ibu yang hangat menitik membasahi pipiku setiap kali
ibu memandangku dengan pandangan yang redup. Aku faham pancaran kesedihan yang
terpamer di wajah ibu. Dia sudah berusaha yang terbaik untuk membuatku menjadi
seperti kanak- kanak normal yang lain tetapi takdir tuhan ini tidak boleh
dikalahkan, akhirnya terpaksa ditelan dan diterima walau terasa sangat menyeksa
jiwanya. Aku masih ingat ketika kecil, ibu membawa aku ke sana dan ke sini
untuk berurut dengan harapan setinggi awan biru untuk melihat aku berjalan dan
berlari seperti kanak- kanak yang lain. Yang ada hanya kehampaan dan tangisan
ibu yang tidak pernah pudar dari wajah bersihnya. Aku mahu menyeka aliran air
mata itu, aku mahu membuatkan ibu gembira dan bangga denganku tetapi aku tidak
dapat melakukannya.
Aku
melihat pada sekeliling ruang tamu melalui ekor mataku yang kugerakkan ke kiri
dan ke kanan dengan semaksima pusingannya agar aku dapat melihat sekitar. Aku
terlalu sukar untuk memusingkan kepalaku kerana saraf pada leherku kejang,
hanya mata yang dapat kugerakkan untuk melihat. Kulihat ada seekor semut merah sedang
mara ke hadapan pertempuran menuju ke kulit lenganku, tetapi aku tidak dapat
menghalangnya. Aku hanya dapat melirik semut kecil itu dengan satu pandangan
yang iri kerana ia dapat bergerak dengan bebas tanpa ada perasaan bimbang untuk
dipijak atau dibunuh.
Satu
gigitan kecil pada lenganku cukup membuatkan aku terasa pedih dan gatal. Air
mataku mula menitik walau aku berusaha untuk menidakkannya tetapi aku tidak
mampu. Semut merah itu dengan megahnya mula menyusuri badanku. Tangisanku tiada
siapa yang dapat mendengarnya. Aku cuba untuk menjerit namun jeritanku
tersangkut pada rongga kerongkongku. Kuusahakan untuk menggerakkan tanganku
menghalau semut merah yang menggigit namun hampa. Tanganku hanya kaku tidak
dapat aku gerakkan. Air mataku terus mengalir dari pipiku dan menitik pada
tikar getah.
“Arghhhhhhh….. arghhhhhh…”
Hanya
itu yang bisa aku bunyikan. Suara yang terlalu perit untuk aku bunyikan. Tiada
rentak dan irama.
Ibuku
yang kebetulan baru muncul dari pintu hadapan berlari ke ruang tamu apabila
mendengar bunyi yang aku keluarkan. Mungkin dia mendengar suaraku. Dia duduk
berlutut di hadapanku yang hanya terbaring. Dia membelek tubuhku yang hanya
bersalut singlet. Tubuh kurusku yang tidak pernah berisi. Tubuhku yang hanya
berbalut kulit dengan sedikit isi menghiasi badanku.
“Aduhhh…
kesiannya anak mama. Ada semut menggigit.”
Satu
suara yang sangat kurindu iramanya. “Jira, tolong angkat tikar ini. Tepuk dan
jemur kat ampaian di luar”. Jira orang gaji yang ditugaskan oleh ibuku untuk
menjagaku datang. Ibu mengangkat badanku perlahan dan berhati- hati. Dia
mendudukkan aku di atas kerusi roda. Lembut tangannya kurasakan mengusap rambut
di kepalaku. Lembut tangannya membelai wajahku. Hatiku terasa girang. Tapi aku tidak
mampu untuk memberitahu ibuku. “Arghhhh….” Hanya itu yang keluar dari bibirku.
***
Palsy.
Itulah nama yang tertera dalam sijil lahirku. Nama yang diberikan selepas usia
dua mingguku disahkan mengidap Celebral
Palsy. Cerebal palsy atau yang
disebut dengan lumpuh otak adalah kelainan yang mempengaruhi otot, saraf,
gerakan dan kemampuan motorik seseorang untuk bergerak secara terkoordinasi dan
terarah. Aku bayi yang hanya terkulai dengan otot yang kejang. Aku tidak tahu punca
sebenar aku menjadi begini namun kata- kata sesal yang sering aku dengar ketika
ibu menangis itu sahaja yang aku faham. Aku tidak mampu berkembang seperti
kanak- kanak yang lain. Ototku kejang dengan postur tubuh yang abnormal. Aku
cacat pada jaringan otak yang belum selesai pertumbuhannya. Tangisanku lemah. Kini
usiaku sudah remaja tetapi ototku masih kejang dengan pergerakan yang kaku
terutama di bahagian kaki, tangan dan punggung. Aku umpama satu beban kepada
keluargaku sendiri.
Namun
satu perkara yang tiada seorangpun sedar, walau dengan kekurangan itu, aku
masih boleh berfikir dan ini merupakan sesuatu yang luar biasa bagi kecacatan
yang aku alami. Tiada siapa yang tahu mindaku masih boleh memahami persekitaran
dan filem- filem yang dipasang pada kaca televisyen yang menjadi tontonanku
setiap hari semua aku fahami jalan ceritanya. Aku belajar banyak perkara tentang
kehidupan melalui setiap perkara yang disiarkan di televisyen. Aku memahami
kelukaan hidup, kebahagiaan dan semua pergolakkan aku pelajari dan selami dari
semua yang aku tonton walau aku tidak dapat mengutarakannya dengan kata- kata.
Aku
masih teringat satu tragedi yang melukakan aku dan ibuku, kata- kata yang
menusuk bagai halilintar membelah jantungku. Suara dari ayahku sendiri yang
menidakkan kehadiranku di muka bumi ini. “Aku tidak mahu mengaku itu anak aku.
Aku tidak mempunyai keturunan yang cacat.” Ketika itu usiaku sudah sepuluh
tahun. Aku memahami semua yang berlaku di persekitaranku dan hanya air mata
sahaja yang mampu aku lahirkan untuk menunjukkan betapa terlukanya aku ketika
itu. Ibu memelukku erat. “Mama tidak akan sekali- kali mengabaikan kamu
sayang. Mama akan menjaga kamu selagi
mama bernafas dan mama tidak akan benarkan sesiapapun membuli kamu.”
Ayah
pergi meninggalkan kami selepas itu, hilang tanpa khabar. Ayah malu pada
kecacatanku. Ayah cuma mampu bertahan menjagaku sehingga usiaku menginjak
sepuluh tahun. Ayah tidak dapat membendung rasa malunya pada sesetengah
masyarakat yang memandang dengan pandangan menghina dan geli setiap kali ayah membawa
aku ke hospital untuk rawatan. Ayah tidak dapat menerima kenyataan bila
dikatakan mempunyai anak yang cacat.
“Sayang,
mama akan sentiasa bersama kamu. Janganlah kamu bersedih. Mama tahu kamu
mengerti dan bisa memahami apa yang mama katakan.”
Air
dari mataku yang bertakung mula berlimpah dan perlahan keluar mengalir menuruni
pipiku. Tangan ibu terasa hangat mengelap air mataku. Ibuku memeluk badanku
yang kurus. Aku mahu meraung dan memberitahu ibu bahawa aku juga mahu menjadi
anak yang baik yang dapat berjasa kepada keluarga. Aku mahu membalas jasa ibu
dan menjadikan ibu wanita yang paling bahagia di dunia ini. Alangkah indahnya
dunia ini jika ada satu keajaiban yang tiba- tiba membuatkan aku menjadi
seperti kanak-kanak normal yang lain.
***
Petang
itu ibu membawa aku dan Jira orang gaji kami ke pantai Tanjung Lipat. Aku
didudukkan di atas kerusi roda dan bantal diletakkan di kiri dan kanan kepalaku
agar aku dapat melihat pandangan di hadapan. Ibu menolak kerusi rodaku perlahan
dan Jira tetap setia berjalan di samping ibu. Aku dapat merasakan pantai yang
sejuk menampar- nampar pipiku, terasa aman dan tenang. Ibu memberhentikan
kerusi rodaku mengadap pantai yang indah. Ibu dan Jira duduk di batu besar di
sebelahku.
Dalam
hati aku tersenyum melihat keindahan ciptaan tuhan. Aku bersyukur walau dalam
kekurangan namun masih diberikan peluang untuk menyaksikan alam yang terbentang
luas. Ombak kulihat tidak pernah berputus asa menghempas dirinya ke pantai.
Pasiran pantai pula tidak pernah bosan dengan hempasan ombak dan sentiasa
menerima hempasan demi hempasan dengan penuh kepasrahan. Hukum alam yang tidak
boleh diubah.
Kulihat
di kejauhan burung-burung terbang bebas di udara. Aku cemburu pada kebebasan
itu dan kalau boleh aku juga mahu terbang tinggi seperti mereka. Aku mahu
bebaskan diri dari jasadku yang lemah. Aku seharusnya benci pada diriku sendiri
namun kata- kata ibu yang sentiasa membelai telingaku dengan penuh kesyukuran
membuatkan aku kuat untuk menerima kekurangan diriku.
“Sayang,
mama berdoa setiap hari bukan untuk meminta dikurangkan ujian tetapi mama mahu
meminta dikuatkan iman. Kehadiran sayang mama tidak pernah menjadi beban dalam
hidup ini tetapi sayang adalah satu harta yang hanya dimiliki oleh ibu yang bertuah
seperti mama. Kehadiranmu adalah anak syurga yang mengajar mama tentang
kesabaran dan keikhlasan dalam kasih sayang.”
Di
kejauhan, aku melihat kanak- kanak riang berlarian di tepi pantai. Aku tersenyum
dalam hati walau tidak jelas pada bibirku yang agak kaku. Aku hanya dapat tumpang
gembira melihat kebahagiaan mereka bermain pasir dan mandi manda di tepi
pantai. Alangkah baiknya kalau aku juga ketika itu sedang berlari di tepi
pantai, bermain dengan pasir dan menendang air di persisiran pantai. Sesuatu
yang mustahil untuk aku lakukan.
Aku
mengerlingkan mataku memandang ke kanan dan melihat ibu sedang tenang
memerhatikan aku. Mata kami bertaut dan ibu berdiri menghampiriku. Ibu memelukku
dengan erat. Aku melihat ada linangan air mata di pipi ibu. “Arghhhh…..” Itu
sahaja yang dapat aku bunyikan. Aku mahu membalas pelukkan ibu tetapi aku tidak
mampu melakukannya.
Tiba-
tiba aku merasakan dadaku sakit dan aku tidak dapat bernafas. Aku cuba untuk
menjerit. “Arghhhhhh….. Arghhh…… “ Suaraku semakin lemah. Aku dapat mendengar
ibu menjerit memanggil namaku. “Palsy….! Sayang…….!”
Suara
ibu semakin lama semakin jauh aku tinggalkan. Aku terlalu gembira bila aku
dapat berdiri dan kakiku terus melangkah demi langkah tidak mahu berhenti lagi.
Aku takut jika aku berhenti aku akan menjadi kaku kembali. Aku meneruskan
larianku ke pantai. Aku melompat- lompat kegembiraan kerana inilah pertama
kalinya aku dapat melangkah dan berlari. Aku ketawa, bernyanyi dan suaraku
terasa indah di cuping telingaku. Sebelum meneruskan langkahku kembali, aku berlari
laju ke tepi pantai dan memeluk ibuku dari belakang. Aku dapat merasakan
kehangatan tubuh ibu. Aku mencium dahi ibu dan aku kembali meneruskan langkah
menuju pelangi yang bersinar dengan indah.
Aku
melihat di belakang untuk terakhir kali. Aku melihat di tepi pantai ibuku
sedang meraung memanggil namaku. “Terima kasih mama kerana tidak pernah
berhenti dari menyayangiku.” Air mataku menitis.
….TAMAT …..
Comments