Cerpen Cinta Si Duyung Oleh Salvia Rose
Tajuk : Cinta Si Duyung
Penulis : Salvia Rose
Cerpen ini adalah antara karya saya yang dimuatkan dalam
BUKU KUMPULAN CERPEN CINTA SATU HARI.
Alunan renangnya tidak lagi selincah seperti seratus
tahun yang lalu. Siripnya tidak lagi sekilau mutiara yang disinari mentari
pagi. Semuanya semakin pudar jauh meninggalkan zaman mudanya yang penuh dengan
kelincahan dan kebahagiaan. Rambutnya yang suatu ketika dahulu berkilau
keemasan itu mula pucat dan tidak lagi seindah sinaran rembulan malam.
Elonara terbatuk- batuk kecil. Dia duduk di atas batu
dan sirip kakinya dilunjurkan ke dalam laut, mengibas- ngibas air lautan yang
tidak lagi sejernih dahulu. Kotor. Menyesakkan. Semua dari mereka yang hanya
mementingkan diri. Kekotoran dihumbankan ke laut, disalirkan sisa dunia dari
kekayan yang telah disedut oleh manusia. Bumi semakin tua.
Satu plastik hitam beralun- alun dipukul ombak.
Plastik yang kotor dan nampak uzur. Ombak hanya bisa mengalun perlahan tanpa
ada riak keriangan. Kaku pada alunannya kerana muatan sampah yang saban hari
dibawanya dari tepian ke lautan menyakitkan teman- teman hidupan laut walau
tanpa sengaja. Ombak sedih tapi tidak mampu menghalangnya. Hanya hempasan ganas
ke pantai untuk menunjukkan tanda memberontak pada sikap yang tidak mahu
menghargai keindahan alam. Ombak buntu dan tidak tahu bagaimana mahu menerangkan
pada manusia yang memuntahkan sampah dari daratan ke lautan. Rasa bersalah
semakin menebal membuatkan ombak adakalanya mengila menghempas pantai membawa
pasiran pantai jauh bersamanya. Ombak mahu menyelamatkan pasir namun hukum alam
membuatkannya pasrah.
Suasana di gua itu sangat sunyi. Yang kedengaran hanya
titikan rentak air yang perlahan- lahan menitik dari celahan dinding gua. Alunan
titikan yang sudah lali di telinga Elonara. Alunan yang iramanya berantakkan
tanpa ada sentuhan lirik yang boleh memukau.
Ombak mengalun perlahan membawa air laut menyentuh
lantai gua. Ombak yang sedang berkecil hati dan berduka. “Sabarlah sahabatku
Sang Ombak.” Hanya kata- kata lembut
berbaur pujukan yang dapat Elonara salurkan bagi mententeramkan ombak yang
bersedih.
Elonara sendiri juga sedang bermain dengan perasaan
sedihnya. Kini dia hanya sendirian. Semuanya sudah pupus. Hanya dia yang masih
bernafas untuk meneruskan kehidupan. Tiada lagi rakan- rakan duyungnya yang
lain. Elonara hanya menunggu masa hidupnya dinoktahkan. Baginya, hidupnya sudah
semakin hilang seri dan kesepiannya banyak memberikan tekanan perasaan. Dia
tidak punya kawan seangkatan dengannya lagi. Hanya hidupan di laut yang masih
setia bersamanya. Sang Ombak juga sentiasa menemaninya bila dia berenang di
lautan yang terbentang luas. Hanya ombak yang menjadi sahabat setia
melindunginya dari mentari yang memarakkan kepanasan pada bumi.
Elonara melangkah ke tempat istirehatnya. Sebuah katil
kerang besar yang terbuka terletak di sudut gua. Katil kerang yang mempunyai
tilam yang empuk di dalamnya. Perlahan Elonara membaringkan tubuhnya di dalam
kerang itu. Mutiara putih yang dijadikan bantal bersinar indah. Beginilah kehidupannya
sebagai duyung. Bila sahaja siripnya kering dari basahan laut, ia akan bertukar
menjadi sepasang kaki.
Di sisi katil kerangnya, sebuah cermin berbentuk hati
yang ditepinya dihiasi dengan mutiara- mutiara kuning gagah melekat pada
dinding gua. Semuanya warisan dari nenek moyang duyung. Elonara bangun kembali
dan menghadap cermin itu. Kelihatan seorang wanita yang sangat cantik sedang
berdiri memandangnya. Walau wajah itu tidak tersenyum, namun kecantikannya
sangat memukau dan pasti sesiapa yang melihat tidak akan puas, terpaku pada
sinar kecantikkan yang asli.
Inilah
realiti hidup seekor duyung. Bila sahaja mereka bertukar dengan memiliki kaki
seperti manusia, wajah mereka tetap kekal muda dan hanya usia yang sentiasa
bertambah. Tetapi bila sahaja kembali ke asal, rupa sebenar akan terlihat
mengikut usia. Umur Elonara telah menjangkau 160 tahun. Satu umur yang sudah
cukup tua bagi seekor duyung.
Elonara memejamkan matanya. Namun, matanya tetap
kembali celik. Sudah berminggu dia tidak dapat melenakan diri. Hatinya sentiasa
gusar, tiada kedamaian. Hidup dalam kesepian membuatkan dia terasa dirinya
tidak diperlukan lagi. Kalau boleh dia ingin menamatkan sahaja hidupnya tetapi
Elonara tidak mahu berbuat demikian. Biarlah tuhan yang mencabut nyawanya bila
dirasakan dia perlu dinoktahkan dari bumi ini.
Elonara bangun dan mengambil beberapa kepingan kerang
yang diikat dengan benang emas. Di dalam kerang itu ada lukisan yang indah
sekali. Lukisan Elonara bersama dengan saudara duyungnya yang lain. Lama
Elonara merenung satu persatu lukisan pada kerang itu. Hatinya tiba- tiba
sebak. Air mata mula mengalir dari pipinya. Dia tidak dapat menahan rasa sedih
dan Elonara mula menangis terisak-isak. Hampir 50 tahun dia hidup sendirian.
Mereka semua telah lama pergi jauh dan tidak akan kembali lagi. Tumpahan toksik
dari sebuah kapal perindustrian telah melenyapkan semua keluarga duyungnya.
Hanya Elonara yang terselamat dari keracunan toksik itu.
Elonara
meletakkan kepingan kerang itu di atas katilnya. Kemudiannya, dia terus berlari
dan terjun ke dalam satu lubang yang berpusar di tepi gua. Kaki Elonara
bertukar menjadi sirip ikan. Elonara berenang tanpa henti. Dia mahu pergi jauh
dari kehidupannya yang sangat sunyi. Dia mahu pergi jauh dari kemurungan yang
semakin membaham dirinya. Dia tidak mahu kalah pada kehidupan. Dia harus pandai
mengawal rasa sedihnya dan dengan berenang dia dapat membebaskan dirinya dari
satu penderitaan yang sangat menyakitkan. Walau hanya seketika namun sudah
cukup untuk membuatkan Elonara tenang kembali.
“Nara…marilah
balik,” suara ombak berbisik perlahan di telinganya. Elonara menghentikan
renangnya. Dia tersedar. Siripnya dirasakannya penat dan langit sudah hampir menutup
tirai petang. Rupanya Elonara telah berenang hampir seharian. Dia tidak
menyedarinya dan dia tidak tahu di lautan mana dia berada, timbul rasa
penyesalan di dalam hatinya. Elonara tidak mahu mati jauh dari asalnya.
Elonara berenang kembali perlahan bersama Sang Ombak.
“Terima kasih Sang Ombak kerana meyedarkan saya.” Sang Ombak hanya mendiamkan
diri. Alunan air lautan yang dibawanya menyapa ekor Elonara. Dia beralun
perlahan mengikut rentak renang Elonara. Dua sahabat yang sentiasa bersama.
Elonara tidak risau kerana ombak akan menunjukkan jalan pulang kepadanya.
Elonara perlahan berenang ke batu besar yang terletak
tidak jauh dari tepian pantai. Dia mahu merehatkan diri seketika di situ. Dia
melihat tidak ada manusia yang memerhatikannya. Perlahan dia naik ke atas batu
kecil yang dilindungi oleh satu batu besar dan ekornya bertukar menjadi
sepasang kaki yang sangat cantik. Wajahnya yang tua bertukar menjadi seorang
wanita muda yang sangat anggun. Pakaiannya yang hanya menutupi dadanya menjadi
panjang hingga ke paras lutut. Semua berlaku seolah- olah satu magis. Pasti
manusia yang melihat akan terlopong kerana tidak percaya.
Desiran ombak yang memukul pantai perlahan kedengaran
lembut di telinga Elonara. Angin yang bertiup menyapa rambutnya dan
mengerbangkannya perlahan. Elonara memandang sekelilingnya. Pantai itu dipenuhi
dengan puluhan manusia yang datang menikmati hujung minggu. Semua sibuk dengan aktiviti
masing- masing. Elonara tersenyum melihat kegembiraan yang terpancar pada wajah-
wajah manusia di hadapannya. Elonara mula teringat kembali kehidupannya suatu
ketika dahulu yang sentiasa dipenuhi dengan gurau senda bersama dengan saudara-
saudara duyungnya. Namun, semua itu kini hanya tinggal sebagai satu memori
dalam hidup Elonara. Satu realiti yang terpaksa diterima oleh Elonara.
“Cik…sorang sahaja. Boleh berkenalan?”
Satu suara menyapa dari belakang. Elonara memusingkan
badannya. Dia melihat seorang lelaki yang sedang tidak berkelip mata
memandangnya. Lelaki itu seperti tergaman dan terkaku seketika. Tertawa kecil
Elonara melihatnya.
“Saya Elonara.”
Suara Elonara perlahan dan lembut. Satu keunikan dan
kelebihan bagi seekor duyung. Mereka boleh mengetahui apa sahaja bahasa tanpa
mempelajarinya. Mereka boleh bertutur dengan semua benda hidup di dunia. Mereka
faham semua bahasa alam.
Mojes tidak dapat mengungkapkan kata untuk
menceritakan keanggunan wanita di hadapannya. Satu kecantikan yang tidak akan
habis sehari untuk diceritakan. Melihat senyuman dan mendengar tawa Elonara
membuatnya terasa bagai berada di kayangan, walau dia sendiripun tidak pernah
tahu bagaimana rupa sebenar kayangan itu.
Mojes perlahan duduk di atas batu di hadapan Elonara
tanpa dipinta. Keakraban mula melayari satu perhubungan tanpa ikatan. Satu
persahabatan yang baru mula terjalin namun keserasian membuatkan bicara dapat
diungkapkan dengan lancar. Kedengaran tawa Mojes diselangi oleh bunyi hempasan ombak
pada pantai apabila lawak Elonara mencuit hatinya. Senyuman Elonara menghiasi
setiap kata- katanya membuatkan Mojes terdampar dalam satu layar tanpa dapat
mengerakkan perahu. Kagum pada wanita di hadapannya.
Mojes merenung jauh wajah di hadapannya, seakan mau
menyelami dan memahami satu jiwa yang kelam walau wajah itu sentiasa dihiasi
senyuman manis. Wajah cantik di hadapannya tidak seperti gambar gadis- gadis di
majalah yang anggun dari hasil sentuhan dandanan tetapi satu kecantikan yang
sangat asli tanpa satu pun calitan solekan. Hati lelaki Mojes kagum pada kecantikan
yang bukan sahaja pada luaran tetapi juga dari cara Elonara berfikir. Sinaran
cahaya dari mata Elonara semasa dia berkongsi cerita sesuatu yang disukainya
sangat mengasyikkan. Bibir Elonara yang merah semulajadi itu juga murah dengan
senyuman dan sangat memberi kesan membuat orang lain tersenyum walau Elonara
bermain dengan dukanya sendiri. Kecantikan luaran hanya sementara namun kecantikan
Elonara terserlah dari dalam jiwa.
Seketika dirasakan ada bunga- bunga berterbangan di
antara mereka. Satu perasaan yang hanya dapat dilayari oleh diri sendiri. Hati Mojes
terasa bahagia. Begitu juga dengan Elonara kerana setelah sekian lama akhirnya
dia mempunyai seseorang untuk berkongsi cerita. Hatinya terasa lega. Dadanya
terasa lapang. Elonara tersenyum bahagia.
“Elonara sebenarnya
berasal dari mana?”
Pertanyaan Mojes yang membuatkan Elonara terdiam lama.
Pandangan Elonara meratah laut yang terbentang luas yang mula mengelap. Mentari
petang sudah lama menyembunyikan diri. Lama kemudian baru Elonara memberikan
jawapan.
“Nara dari lautan.”
Jawapan Elonara membuatkan Mojes terkedu seketika. Dia
bukan terkejut pada jawapan Elonara tetapi terpegun pada kejujuran wanita itu. Mojes
tersenyum.
“Jawapan yang penuh kejujuran. Nara tak takutkah
manusia tangkap Nara?”
Elonara tidak membalas pertanyaan itu. Pandangannya
jauh kembali ke arah lautan yang luas di hadapannya. Ada tin- tin kosong
beralun dan sampah yang dibuang oleh manusia ditarik oleh ombak ke tengah
lautan. Ombak berusaha menghantar kembali sampah itu ke daratan dengan
menghempas dirinya ke pasiran pantai tetapi sampah- sampah manusia itu tetap
mengikutnya kembali.
“Tengoklah sampah- sarap itu. Ramai manusia yang
berkunjung ke sini namun sampah-sarap itu dibiarkan begitu. Malah ditambah lagi
dengan membuang sisa ke lautan. Nara sudah tua untuk melihat semua ini. Nara
sudah letih. Bumi kita juga makin tua dari usianya.”
Mata Elonara melihat seorang budak kecil yang berlari
anak di tepian pantai di samping ayahnya. “Kasihan dengan anak kecil itu. Nara
harap akan ada kesedaran agar generasi baru tidak akan kehilangan keaslian
bumi.”
Mojes terdiam. Matanya turut mengikut pandangan
Elonara. Ramai manusia berada di tepi pantai itu tetapi tidak seorang pun
mengendahkan sampah yang ada di hadapan mata mereka. Masing- masing dengan
kepentingan sendiri. Ada rasa kesal dalam hati.
“Kamu sangat cantik,” puji Mojes. Elonara tertawa.
“Terima kasih atas pujian itu. Namun, apa yang dilihat tidak selalunya
menceritakan kebenaran.” Jawapan yang penuh misteri.
Mojes faham akan maksud Elonara itu. Namun dia tidak
mahu membuka mulut untuk memberitahu Elonara. Biarlah ia hanya menjadi satu
rahsia. “Selamat tinggal. Nara balik ke asal dahulu. Terima kasih kerana
menjadi kawan Nara walau hanya seketika.” Elonara melompat masuk ke dalam
lautan.
Lama Mojes memerhati lautan di hadapannya. Tiada
bayangan Elonara langsung. Hilang tanpa jejak. Hampir sejam dia duduk menyendiri.
Putaran memorinya kembali ketika dia mula sampai ke pantai. Matanya memandang
kelibat seorang manusia yang mempunyai ekor ikan. Hanya dia seorang yang
menyedari apa yang berlaku di balik batu besar itu.
Pertemuan yang memberikan sejuta kenangan yang tidak
mungkin dapat Mojes lupakan. Pertemuan dengan seekor duyung yang hanya wujud
dalam cerita dongeng. Benarlah dongeng yang selalu didengarinya dari kecil, Ikan
duyung itu sangat cantik. Dan memang dia tidak dapat menafikan setelah melihat
dengan mata kasarnya sendiri. Dia telah jatuh cinta pada Elonara dan cintanya
hanya dapat dijalin dalam ruang hatinya sendiri. Cinta pada si duyung yang
pasti akan menjadi satu bahan jenaka bila dia bersuara untuk menceritakan pada
dunia. Biarlah ini hanya menjadi satu sejarah yang akan kekal dalam kanvas
kehidupannya.
***
“Sakitnya….’”
Elonara memperlahankan renangnya. Dia melihat dua
sisik pada ekornya telah terbuka entah hilang di arus mana. Rasa sakit yang
teramat kerana kulitnya terdedah. Sisik yang tidak lagi bersinar dan kelihatan
malap tanpa seri. Rambut Elonara yang panjang terasa sakit bila terkena
hempasan ombak. Renangan Elonara semakin perlahan. Ombak semakin risau melihat
keadaan Elonara dan dia berusaha keras membawa Elonara bersama kembali ke gua.
Elonara mengambil sekeping kerang dan dia melukis
sesuatu di dalam kerang itu. Kemudian, dia membaringkan dirinya di atas katil
kerang. Dipeluknya kerang yang dilukisnya rapat ke dada. Nafas Elonara semakin
perlahan rentaknya. Bibir Elonara mengukir senyum. Hatinya terisi seketika
dengan kehadiran seorang manusia setelah sekian lama disepikan dari kehidupan. Pertemuan
mereka telah menjadi satu memori yang indah dalam pengakhiran kehidupan Elonara.
Elonara berharap dia tidak akan pupus dalam fikiran lelaki itu walau dia tahu
masanya kini sudah sampai ke noktah.
“Terima kasih Sang Ombak kerana setia bersama saya
hingga ke saat ini.”
Elonara menutup matanya perlahan. Jantungnya berhenti
berirama. Elonara membuka matanya kembali dan melihat saudara- saudara
duyungnya sedang melambai tangan padanya di lautan yang membiru dan penuh
dengan keindahan semulajadi. Lautan yang bebas dari pencemaran. Elonara
berenang dengan perasaan bahagia meninggalkan dunia di belakangnya.
Ombak menangis menghempaskan dirinya ke pantai.
Menangisi pemergian sahabatnya. Pada batuan besar ada satu susuk tubuh yang
sangat dikenali oleh ombak. Perlahan ombak menghempaskan dirinya ke batu besar
itu. Mojes mengangkat kakinya untuk mengelak ombak kecil yang tiba- tiba
menerpa ke kakinya yang terlunjur di bawah batu. Mata Mojes menangkap sinaran
dari satu kerang. Dia mengambil kerang itu dan bibirnya tersenyum melihat
lukisan pada kerang itu. Dia mengenggam kerang itu dengan erat.
“Terima kasih atas kenangan ini Elonara.”
……Tamat ……..
Comments