Cerpen Aku Maafkan Kamu Tanggang Oleh Salvia Rose
Disiarkan dalam Harian Ekspress
Ruangan Sastera & Budaya pada 20 Januari 2019
Tajuk Cerpen : Aku Maafkan Kamu Tanggang
Penulis : Salvia Rose
Raut
wajah itu tidak menampakkan satu pun kerutan keceriaan. Yang ada hanya garis-
garis tua yang tidak lagi dapat dikira lapisan alurannya yang telah memenuhi
wajah yang sugul, memancar himpunan sisa penyesalan sepanjang hayatnya. Renungan
tuanya samar melihat pemandangan di hadapan. Satu pandangan yang pudar dengan
penantian yang tidak pernah tertunai. Mata itu tidak lagi mampu melihat dengan jelas
kerana selaput putih hampir menguasai sepenuhnya penglihatan yang uzur.
Kini hampir tujuh tahun dia menghuni
rumah orang tua itu. Dialah satu- satunya senior di rumah itu kerana teman-
teman yang lain sudah pergi meninggalkannya satu persatu. Hanya dia yang
memiliki nyawa yang liat untuk pergi meninggalkan jasad kerana ada hasrat
terakhir yang belum tertunai. Hasrat seorang ayah yang telah lama dia pendam
dan kini hampir terkubur kerana masa membuatkan dia hampir berputus asa. Hari-
harinya banyak dihabiskan dengan meneroka ingatan masa lalu, setiap satu bak
album yang mempunyai siri untuk dilihat dan dilayari filemnya. Setiap satu juga
mempunyai penyesalan yang tebal sehingga adakalanya air mata menitis melalui
pipinya yang berliku.
Bunyi hentakkan tongkat yang semakin
menguasai pendengarannya yang agak ketulian itu membuatkannya menolehkan kepala
perlahan. Susuk tubuh sahabatnya yang semakin menghampiri direnung lembut. Dia
tersenyum di dalam hati, entah menyindir dirinya sendiri. Kini dia hanya dikelilingi
oleh kawan- kawan yang tua dan uzur. Semua sama seperti dirinya yang hanya
menunggu waktu untuk dinoktahkan dari muka bumi.
Stanley membiarkan sahabatnya
Winston, yang mengidap Parkinson itu terkial- kial sendiri untuk duduk di kerusi
sebelahnya. Bukan dia tidak mahu
membantu tetapi dirinya sendiripun sudah tidak larat untuk bergerak dengan
pantas. Lututnya bagai hendak tercabut dan terasa seperti ada tusukan jarum
setiap kali dia berdiri dan melangkah. Bagaimana dia mahu membantu orang lain
sedangkan dirinya sendiripun terkial menahan sakit. Kalau ikutkan hati, mahu
saja dia meraung dan menangis bila kesakitan menghujani dirinya.
Stanley
mengalihkan wajahnya kembali melihat pemandangan taman di hadapannya. Pokok-
pokok bunga subur mula menampakkan kecantikan keremajaan yang memukau. Perlahan
dia menutup matanya namun bayangan bunga- bunga yang berkembang dengan megah
tetap membayangi fikirannya. “Bila tiba masanya, kau akan layu dan tidak
berguna lagi. Itulah realiti yang tidak dapat dihindari”.
Angin petang yang menerpa dibiarkan
menyejukkan badannya yang terdedah. Mata tua itu tertutup dan ingatannya mula
perlahan mengimbau album lama dari kotak fikirannya. Wajah ketiga- tiga anaknya
itu mula terlihat satu persatu, bergilir ditatap dalam ingatannya. Wajah- wajah
yang sangat dirindui sejak sepuluh tahun yang lalu. Dia rindukan zaman hitam
putih ketika anak-anaknya masih kecil. Kalau masa itu boleh diputarkan kembali,
banyak yang ingin dia ubah dan dia tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama.
“Bertuahnya kamu Stan, anak- anak kamu semua
berjaya dalam hidup.”
Kata- kata sahabat sebiliknya itu hanya
seperti pasiran yang disapu ombak yang menghempas kemudian dibiarkan begitu
sahaja terdampar di tepian. Dia dahulu sangat gah bila bercerita tentang
kejayaan anak- anaknya. Kebanggaan yang membuatkan dia mengapungkan diri dari
bumi yang dipijak. Ayah mana yang tidak bangga bila anak- anaknya cukup berjaya
dan mempunyai empayar perniagaan yang besar dan maju, lebih hebat dari perniagaannya
sendiri di suatu ketika dahulu. Dia bangga kerana dia dan arwah isterinya
berjaya menjadikan anak- anak mereka orang yang berjaya dalam hidup tetapi jauh
di sudut hati ada kelukaan kerana dia gagal menjadikan anak- anaknya seorang
manusia, seorang manusia yang tahu menghargai kehidupan dan sentiasa bersyukur
dalam kehidupan.
“Papa tidak fahamkah? Kami sangat sibuk.”
Kata- kata inilah yang sering menjadi santapan
telinganya apabila dia menghubungi anak- anaknya. Adakalanya kata- kata itu
tinggi bunyinya, berbaur herdikan seolah dia mengemis untuk berjumpa dengan
anak- anak kandungnya sendiri. Akhirnya hati tua Stanley merajuk dan berhenti
dari membiarkan pendengarannya diterjah dengan kata- kata yang menusuk hati.
Kematian isterinya 10 tahun yang lalu juga membuatkan dia lebih banyak
menghabiskan masa berseorangan. Bukan dia tidak punya kawan yang seusia
dengannya, tetapi semua juga sibuk dengan keluarga masing- masing, sibuk dengan
anak cucu mereka, ada juga yang pergi melancong dan membuat kerja- kerja amal.
Keegoannya ketika dia sihat dahulu juga merupakan punca dia hilang kawan yang
benar- benar ikhlas dalam ikatan persahabatan. Dia riak pada kejayaan dan
kemegahan yang ada dalam hidupnya dan keegoan ini secara tidak langsung mewarnai
kehidupan anak- anaknya sendiri.
Rumah banglo enam bilik yang tersergam indah
di atas bukit itu ditinggalkan oleh Stanley tanpa ditoleh. Stanley membawa
rajuk dan meneruskan hidup di rumah orang tua itu kerana adakalanya dia tidak
lagi mampu untuk menjaga dirinya sendiri apabila penyakit sendi dan lelahnya
menyerang dengan usianya yang sudahpun menjangkau 75 tahun. Peristiwa dia
hampir menemui maut kerana serangan lelah di rumah banglo itu benar- benar
menyentak pemikirannya. Stanley meneruskan langkah kehidupan dengan keluar dari
kesunyian dan meneruskan sisa hidupnya dengan masyarakat sekeliling. Dia tidak
mahu membayangi mati seorang diri di banglo itu dengan penemuan mayatnya yang
reput nanti.
Kini, Stanley tidak lagi terasa sunyi dan keseorangan.
Dia gembira kerana telah memilih penghujung yang menemukan dia dengan beberapa
sahabat baru yang sentiasa menemani dan menjadi teman bualnya di rumah orang
tua itu. Winston rakan sebiliknya yang mengidap Parkinson itu tidak pernah
jenuh mendengar luahan hatinya. Mereka sama- sama tertawa bila ada cerita lucu
yang diiramakan mengisi ruang bilik mereka, manakala suasana sunyi akan
menyelubungi jika imbauan kisah lama mula mengisi semula ruang hati.
“Saya menyesal kerana hanya memberikan
kemewahan pada anak- anak. Saya sering bertengkar dengan arwah isteri dahulu
bila dia mempertikaikan cara saya mendidik anak- anak.”
“Salahkah saya jika memberikan yang terbaik
untuk anak-anak?”
Kata- kata Stanley itu dibiarkan sahaja oleh
Winston. Dia langsung tidak membalas kerana kata- kata itu sudah lali di
telinganya dan tidak pernah lekang dari mulut sahabatnya itu. Dia membiarkan
angin meniup kata- kata itu pergi meninggalkan mereka berdua dalam kebisuan.
Winston memalingkan wajah dan melihat sahabatnya yang duduk di sebelah dengan mata terpejam.
“Dalam membesarkan mereka, apa yang mereka
mahukan saya akan tunaikan dan mereka tidak pernah saya biarkan kekurangan. Saya
manjakan mereka dengan segala- galanya tanpa kurang satu titik pun kasih sayang.”
Air mata Stanley yang bertakung mula meluncur
laju. Dia membuka matanya kembali dan membaca satu sudut di suratkhabar yang
diletakkan di dadanya tadi. Gambar anak sulung bersama isteri megah berdiri
bersama ketika menerima anugerah sebagai ahli peniagaan yang berjaya. Stanley
merasakan hatinya bagai disiat- siat bila dia tidak wujud lagi dalam kehidupan
keluarga anak- anaknya. Sejak semua anaknya mempunyai perniagaan sendiri dan
berkeluarga, dia seolah dibuang begitu sahaja. Bukan dia tidak pernah mengunjungi
anak- anaknya, namun dia sebagai ayah sendiri terpaksa membuat temujanji bila
berjumpa dengan mereka. Dia merasa sangat terkilan dan cuba memikirkan di mana
silapnya. Apabila dia menghubungi telefon bimbit anak- anaknya, hanya kata-
kata kasar yang sering menyambut rasa rindunya.
Bila hati tuanya mula berkecil hati, Stanley mula
pasrah dengan layanan yang diberikan oleh anak- anaknya. Dia tidak mahu
mengeluh atau menyalahkan sesiapa mahupun dirinya sendiri. Bagi Stanley, anak-
anaknya sudah lupa pada asal dan dia tidak lagi diperlukan oleh anak- anaknya.
Walaupun kini dia berakhir di rumah orang tua, namun dia tetap bersyukur kerana
tidak berseorangan dalam perjalanan hari tuanya. Dia mempunyai kawan- kawan
yang seangkatan dengannya, jururawat- jururawat dan petugas yang peramah dan
sentiasa bermanis muka dengan senyuman yang menjadi pengubat hati yang lara.
***
Lawatan mahasiswa dan mahsisiwi dari sebuah
universiti tempatan memeriahkan rumah orang tua itu. Kedengaran bunyi gitar
dimainkan dengan suara sahabatnya yang sedang berduet dengan seorang mahasiswi mendendangkan
lagu Sedangkan lidah lagi tergigit
yang dinyanyikan oleh P.Ramlee dan Saloma. Stanley ingin bangun dan menyertai
mereka namun kudratnya tidak mengizinkan. Stanley hanya terbaring di atas katil
di biliknya sejak dua hari lalu kerana kesihatannya agak merosot sejak sehari
dua ini. Nafasnya juga tidak lagi sekuat irama di radio. Semuanya semakin
perlahan.
Ketukan
di pintu bilik membuatkan
Stanley membuka matanya yang terpejam menghayati lagu dendangan sahabatnya
tadi. Dia melihat tiga orang anak muda berdiri di pintu memberikan senyuman
padanya dan di tangan mereka ada sebakul buah- buahan.
“Masuklah nak…” Perlahan suara Stanley
diikuti oleh bunyi batuk yang agak dalam. Dia memegang dadanya yang terasa
sakit.
“Atukkkk….” Satu suara memanggilnya. Ada
linangan air mata mula bergenang di mata anak muda itu. Stanley cuba mengingati
wajah anak muda di hadapannya itu tetapi ingatannya tidak lagi sekuat dahulu.
Semuanya sukar untuk diimbas kembali dan memori lama hanya samar dalam
ingatannya.
“Saya Jason. Cucu atuk.”
Jason terus menerpa dan memeluk Stanley. Dia
menangis teresak-esak dalam pelukan Stanley. Stanley yang tergaman seketika mula
teringat akan cucunya dari anak sulungnya. Sudah hampir 10 tahun dia tidak
berjumpa dengan cucunya itu. Wajah anak muda itu ditenung dan air matanya
mengalir deras di pipi tuanya. Stanley merasakan ada satu kelegaan menyusup
masuk ke dalam hatinya. Kerinduan pada anak- anaknya berganti dengan kelegaan
pertemuan cucu sulungnya itu.
“Atuk…saya akan pastikan ayah datang
mengambil atuk di sini. Saya akan jaga atuk.”
Kata- kata itu membuatkan Stanley semakin
sebak. Dia tidak menyangka mempunyai cucu yang sangat baik. Hatinya yang telah
lama terluka terubat dengan kehadiran cucunya. Penantiannya selama ini
dimakbulkan walau bukan anaknya yang datang tetapi penerus zuriat keluarga
mereka.
Jason menghabiskan masa di bilik datuknya
sehingga masa lawatan berakhir. Dia tidak menyangka selama ini datuknya berada
di rumah orang tua itu. Dia banyak kali bertanya kepada ayah dan ibunya tentang
datuk mereka tetapi diberitahu bahawa datuk mereka ke luar negara tinggal
bersama dengan saudara di situ. Rupanya semua itu hanya sandiwara. Jason terasa
hampa dengan sikap ayah, ibu saudara dan ayah saudaranya yang mementingkan diri
dan tidak menghargai ayah kandung mereka sendiri.
“Jason… Atuk hanya mahu pergi dengan tenang.
Terima kasih kerana tuhan mengirimkan cucu untuk menemui diri ini.”
Kata- kata itu terngiang- ngiang di telinga
Jason sepanjang dia berada di dalam bas yang membawa rombongan lawatan itu
kembali ke destinasi. Dia mahu menyelesaikan pertemuan tentang datuknya dengan
segera, pulang ke rumah malam itu juga untuk bersemuka dengan ayah dan ibunya.
Dia mahukan penjelasan, dia mahu ibu dan ayah membawa datuknya pulang tinggal
bersama mereka.
“Kami datang untuk bertemu dengan salah
seorang penghuni di rumah ini. Kami mahu membawanya pulang.”
Perlahan suara ayah Jason. Ada nada
penyesalan dan rasa malu kerana menidakkan ayah kandungnya sendiri di hadapan
anak tunggalnya. Kedua- dua orang adiknya juga turut sama datang untuk membawa
ayah mereka pulang. Mereka tidak tahu bahawa selama ini ayah mereka telah
memasukkan diri sendiri di rumah orang tua itu, yang mereka tahu ayah mereka
hanya tinggal seorang diri di atas banglo di atas bukit itu dengan orang gaji
yang menemani. Mereka tidak pernah ambil tahu dan hanya membiarkan ayah mereka
tanpa menjenguknya. Sikap ego dan mementingkan diri menguasai diri sehingga mereka
lupa asal mereka dan jasa ayah mereka yang membesarkan mereka.
“Maafkan kami. Nama yang dicari itu tidak ada
lagi. Arwah telah pergi untuk selamanya petang semalam,” beritahu petugas di
rumah orang tua itu.
Semua yang hadir terdiam. Suasana menjadi
sunyi sepi. Linangan air mata mula terlihat di wajah masing- masing. Semua
penyesalan tidak membawa erti lagi kerana kemaafan tidak dapat dipinta untuk
kali terakhir. Ketiga- tiga anak Stanley terduduk dan menangis memanggil ayah
mereka. Jason tidak menyangka bahawa pertemuan dengan datuknya adalah pertemuan
terakhir dan kedatangan keduanya hanya untuk membawa jasad yang tidak bernyawa
lagi pulang ke rumah.
“Ini dari arwah. Katanya berikan pada anak-
anaknya. Inilah permintaan terakhirnya. Kalau saya tidak silap lukisan ini
dihasilkan oleh arwah.”
Semua mata tertumpu pada lukisan pemandangan
pantai yang cantik itu yang dihulurkan oleh Winston, rakan sebilik arwah ayah
mereka. Dalam pemandangan itu ada sepasang suami isteri di kejauahan yang
sedang memerhatikan tiga anak kecil mereka bermain pasiran di pantai. Ketiga-
tiga anak arwah meraung apabila membaca ayat di bawah penjuru gambar yang ditulis
oleh ayah mereka.
Aku maafkan kamu Tanggang.
……………………….
Sekian ………………………………

Comments