Episod Permulaan Bobo oleh Salvia Rose

Bacaan hiburan

Episod Permulaan Bobo
Penulis : Salvia Rose

Genre Lawak
( Maaf saya yang kategorikan sendiri sebab suka hati sayalah...tak kan nak ikut suka hati orang pula )

Saya terpanggil dan terseru dari segenap ruang planet untuk menyajikan cerita tentang kucing kesayangan yang bernama Bobo. Mengapa saya katakan ini ialah kucing kesayangan?  Tentulah dah terang- terang disebut kesayangan maka membawa erti kucing yang disayang sebab hanya kucing ini satu- satunya yang dipelihara  dan tiada saingan dengan kucing yang lain.

Dimulakan sejarah kehadiran Bobo. Kucing ini merupakan pemberian dari seorang kawan baik saya. Ya... lah. Tak kan dari musuh pula kannn. Ketika itu Bobo masih boleh diklasifikasikan sebagai anak kucing yang sangat comel. Saya tak mahu terangkan apa warna Bobo kerana semua jelas terlihat pada gambar Bobo. Jika mahu diulang- ulang cakap nanti saya menulis bosan sendiri pula sebab Bobo pun selalu berada depan mata. 

Kehadiran Bobo pada bulan Julai tahun lalu dalam keluarga ahli Parlimen dan ADUN sangat mengembirakan semua. Bobo ditatang bagai minyak yang bukan sahaja penuh tapi berlimpah-ruah. Hari- hari didukung oleh ADUN dalam rumah, diberi makan Whiskers, dimandikan dan kadangkala ahli parlimen mendapati Bobo dicium- cium. Bayangkan betapa untungnya hidup Bobo ketika masih kecil. Dilimpahi dengan kasih sayang yang mencurah dan tidak ada masalah langsung. 

Selama membesar, tiada kejadian yang luar biasa berlaku. Semua hanya perjalanan hidup yang biasa- biasa sahaja dan hanya limpahan kebahagiaan. Bintang dan bulan dilangit ketika itu semua seolah milik Bobo seekor.

Namun semua masalah bermula apabila Bobo mula menginjak zaman keterunaannya. Hari- hari suara mengiau yang membingitkan telinga kedengaran. Suara bergema meminta peluang untuk menunjukkan kejantanannya. Bayangkan apa perasaan ahli parliman dan ADUN bila terpaksa mengakui bahawa Bobo bukan lagi seekor anak kucing tetapi sudah membesar sebagai kucing teruna. 

Nampaknya, mengikut kajian yang dijalankan secara persendirian. Kucing yang naik teruna ini tidak akan duduk diam. Di rumah, Bobo banyak menghabiskan masa berjalan ke sana sini dan tidak pernah tenang walau sang bulan menjelang. Asyik mengiau menganggu kenikmatan mimpi ahli parlimen. 

Kucing2 betina pula yang entah dari mana, mula berkumpul depan pintu rumah setiap hari kerana tercium wangi sang teruna . Apabila pintu rumah dibuka, maka terpancarlah wajah- wajah menggoda kucing- kucing betina yang duduk- duduk melepak di depan pintu. Ketika itu, Bobo pula hanya berlagak takut- takut. Bobo malu untuk berhadapan dengan kucing- kucing betina yang berani mencari timba. Bobo dengan pantas akan berlari ke dapur untuk menyembunyikan diri setiap kali pintu dibuka.

Maka satu mesyuarat telah diadakan, ahli- ahli parlimen yang terdiri dari saya dan nenek, ADUN yang terdiri dari anak - anak telah bersetuju utk melepaskan Bobo mengembara ke dunia luar. Walau hati berat namun ketegasan terpaksa dibuat agar Bobo bisa menikamti dunia luar.

Dipendekkan cerita, minggu pertama dan kedua, Bobo dikeluarkan pada jam 6 pagi dan pada jam 10 mlm sudah mengiau depan pintu rumah meminta masuk. Bagus bukan? Pandai Bobo. Minggu ke -3 dan dalam sebulan, Bobo keluar pagi dan ada peningkatan. Bobo mula balik subuh.


Selepas beberapa minggu, Bobo mulalah tidak pulang berhari- hari. Bobo hilang dari radar. Beberapa orang ADUN cuba mencari Bobo di kawasan pilihanraya masing- masing namun tidak berjaya.

Dipendekkan lagi cerita,( suka hati sayalah nak pendek kah panjang) Bobo akhirnya kembali setelah empat hari berada di luar. Bobo kembali dalam keadaan yang sangat menyayat hati. lemah dan kurus. Bobo bukan sahaja telah kehilangan tenaga tetapi juga kehilangan keterunaannya. Bobo tidak lagi segirang dahulu.

Sejak kejadian itu, Bobo tidak lagi keluar walau pintu dibuka  sebesar- besarnya. Bobo leih banyak merenung diri. Mungkin merenung diri kerana bangga telah membuktikan kejantanannya pada kucing- kucing betina di luar. 

Namun, sejak dua menjak...ada kucing betina mula muncul depan pintu.. Kucing yg besar perutnya....setiap hari datang mengiau dan memanggil- manggil Bobo.

Maaf gambar Bobo telah dikaburkan untuk mengelak dari dikenali.. Hahaha...













Kucing betina yang selalu datang mencari Bobo.






bersambung....





Comments

Popular posts from this blog

Buku Antologi Cerpen 7 Tahun Mencintaimu Oleh Penulis- Penulis Sabah

Cerpen Anak Syurga oleh Salvia Rose

Puisi Si Rama- Rama Oleh Salvia Rose