Cerpen Cahaya Derita Oleh Salvia Rose
Disiarkan dalam Harian Ekspress
Ruangan Sastera & Budaya pada 30 Julai 2017
Tajuk Cerpen : CAHAYA DERITA
Penulis : Salvia Rose
Jauh
sekali renungan mata tua itu. Renungan yang tidak ada noktah dalam perjalanan
kehidupannya. Garis- garis kedutan pada wajah jelas terlihat bagai lurah- lurah
bumi yang tidak segan untuk melihatkan jurang yang besar. Pemandangan yang
direnung hanyalah satu pandangan kosong walau keindahan tersipu- sipu
menunjukkan kecantikkan ciptaan Tuhan.
“Aku
tidak mampu bertahan lagi.” Suara hati Daniel. Merintih pada usia yang sudah
senja dan kelam tanpa cahaya bahagia. Hidup seorang diri tanpa teman di sisi.
Tiada anak- anak untuk berjalan seiring. Yang ada hanya sebatang tubuh tua yang
menanti pengakhiran bagi irama nafas yang tidak lagi indah rentaknya.
Ubat-
ubat peneman yang diletak di bekas kotak kasut direnung kaku. Ubat yang hanya
memberi kesan pada luarnya tapi tidak pada hati tuanya. Kalau ikutkan hati, tidak ingin dia membiarkan
ubat itu melalui aluran kerongkongnnya lagi. Semakin lama terasa perit dan
sakit sedangkan dia tidak ingin meneruskan perjalanan yang penuh dengan
gelombang. Menanti titik noktah yang entah bila akan datang melamarnya.
Perlahan
Daniel bangun dan menuju ke dalam bilik. Semuanya terasa kosong. Sunyi dan
putih. Tanpa seri warna yang mewarnai isi rumah yang tersergam indah dari luar.
Jauh dari jiran tetangga. Yang ada hanya siulan burung- burung yang
berterbangan dan hinggap sebentar di dahan pokok yang berhampiran. Bunyi siulan
yang tidak pernah kekal dan adakalanya langsung tidak akan menyinggah. Hanya
berlalu pergi dan sunyi.
Daniel
menghembuskan nafasnya perlahan. “Aku tidak ingin mati dalam kesedihan. Aku
mahu peluang untuk mati dalam senyuman.” Tekad Daniel walau hanya dalam hati.
Daniel tidak mahu keseorangan bila nyawa terakhirnya memuntahkan nafas
penghabisannya. Dia mahu anak- anak ada di sisinya dan memaafkan segala coretan
pahit pada kanvas kehidupan lampau.
Dulu
dia memang seorang lelaki yang gagah. Penuh dengan emosi. Hidup dalam
kebengisan. Semua yang memandang pasti gerun melihatnya. Bayangannya saja mampu
membuat anak dan isterinya tersentak tanpa bahasa. Pucat bagai helaian daun
yang tetap kaku walau ditiup angin.
“Jangan
melawan cakap saya”, bentak Daniel pada
isterinya. Winnie hanya tertunduk tanpa suara. Kata- kata yang sering didengar
berkumandang di cuping telinganya. Dia tidak mampu untuk melawan kata- kata sang
suami yang bengis itu. Jika melawan pasti akan menerima tamparan yang menggetarkan
jantung. Anak- anak juga akan turut menjadi mangsa kemarahan Daniel. Winnie
hanya membisukan diri dalam tangisan di hatinya. Dialah lelaki yang dikahwini
olehnya 15 tahun yang lalu. Lelaki kaya pilihan keluarganya. Dengan harapan
keluarga agar pilihan itu adalah pelangi di langit yang akan memberikan cahaya warna-warni
dalam hidup Winnie. Persahabatan keluarga yang harus disatukan dengan satu
perkahwinan. Namun semua itu adalah
umpama gua yang hanya indah pada nama tetapi di dalamnya hitam penuh dengan
batu- batu tajam yang akan melukakan setiap langkah.
Tunduknya
Winnie bukan mengalah pada kehidupan. Diamnya Winnie bukan berserah pada
penderitaan. Tapi tunduknya dan diamnya adalah kerana ingin menoktahkan
kemarahan Daniel. Dia sudah cukup masak dengan lava kemarahan Daniel. Yang
pasti belum masanya dia mengundurkan diri dari hidup berkeluarga ini. Dia harus
bertahan kerana tanpa Daniel hidupnya pasti akan terumbang-ambing tanpa haluan
dipukul ribut dan anak- anak pasti akan hilang dalam arus tanpa arah tuju.
Kita
senyap dalam perjuangan bukan bererti kita kalah tetapi tanpa disedari
sebenarnya satu tembok jati sedang kita bina perlahan dalam hidup kita.
Penghujungnya kita akan bangkit dan melawan gelombang kehidupan itu. Winnie
pasti itulah pegangan yang dipegang dalam hidupnya bersama Daniel.
Kesal dengan sikap Daniel yang tidak
pernah berubah. Teguran dari ibu bapanya sendiri hanyalah angin lalu yang
menyapa sebentar dedaun. Walau seribu kali teguran, semuanya kosong berlalu
tanpa membawa apa- apa kesan. Keluarga hanya mampu pasrah. Mengalah pada sikap
Daniel. Bukan berputus asa tetapi berusaha dalam doa agar sikap pemarah Daniel
berakhir. Marah mesti pada rasionalnya bukan memberikan hentaman demi sebuah
egois.
“Daddy….
daddy…. mummy terjatuh di kamar mandi”, suara Alex termengah- mengah kerana
berlari ke arah Daniel yang sedang mencuci keretanya di garaj luar rumah. “Cis…
ada- ada sahaja”, marah Daniel. Pantang bagi Daniel bila dia membuat sesuatu
dikacau atau terhenti. Dia menghempaskan batang paip yang dipegangnya ke tanah.
Dengan wajah bengis dia menuju masuk ke dalam rumah. Alex anak bongsunya yang
berusia 10 tahun hanya mengekori dari belakang langkahnya. Tanpa suara dan
dengan langkah yang penuh berhati- hati agar tidak menambah kemarahan ayahnya.
Daniel terus menolak pintu kamar
mandi dengan kasar. Sekujur tubuh terbaring dengan luka di kepala. Kelihatan
darah mula membasahi lantai putih menukar coraknya kepada merah. Merah yang
membentuk corak aliran tanpa tujuan dan semakin banyak memenuhi ruang. Namun, pandangan
Daniel langsung tidak menunjukkan perasaan sayang apatah lagi kasihan pada Winnie
yang hanya mampu mengelipkan matanya. Ego. Winnie tidak dapat menggerakkan
tubuhnya kerana hentakkan yang kuat pada tulang pinggul dan belakang kepalanya.
Semakin lama dia merasakan semakin lemah dan irama nafasnya semakin perlahan. Gara-
gara kurang berwaspada dia tergelincir kerana terpijak lantai licin yang baru
disimbahnya air sabun.
“Menyusahkan”. Perlahan suara Daniel tetapi
tajam menikam pendengaran dan hati Winnie. Kejam. Seolah- olah isteri yang
telah dikahwininya 15 tahun yang lalu tidak bererti padanya. Winnie hanyalah
seolah boneka dalam perjalanan hidupnya bagi mengisi ruang permainan susun
gambar. Wanita yang tidak pernah dicintainya yang datang dalam kanvas hidupnya
dan memusnahkan istana kasih yang ingin dia bina bersama dengan kekasih hati.
Akur pada arahan keluarga adalah kesilapan yang Daniel rasakan dan kini Winnie
harus menerima balasannya. Perkahwinan
tanpa rasa cinta yang akhirnya tetap membibitkan tiga orang cahaya mata yang
bagi Daniel hanya memalapkan warna pelangi hidupnya. Kalau bukan kerana ugutan
keluarga tentang harta yang tidak akan diwarisinya sudah tentu dia sudah lama
meninggalkan Winnie tanpa berita. Ikatan tidak ingin hidup susah dalam
kehidupan membuatkan Daniel tersangkut di situ. Mengapa dia harus bersusah
payah dengan kehidupan di luar sana sedangkan dia sudah dilahirkan dalam
keluarga yang kaya-raya.
Winnie membuka matanya dan melihat
sekeliling. Semuanya putih dan nyaman. Dia memanggil anak sulungnya John
perlahan. Sunyi. Dia memanggil lagi. Dia melihat sekeliling. Anaknya John
menangis di sisi katilnya. Ibu bapanya juga berada di sisi. Winnie juga melihat
ibu dan bapa mertuanya turut berada di tepi pintu bersama Flora anak kedua dan Alex
yang bongsu. Ramai orang yang dikenali oleh Winnie berada di sisinya. Winnie berasa
tenang kerana dia tidak berseorangan. Dia tersenyum manis.
Perjuangan yang berakhir sebelum ke
garis penamat. Pemergian Winnie ditangisi oleh anak- anaknya. Semua ahli
keluarga menangisi pemergian Winnie. Sebiji mutiara yang sentiasa bersinar walau menghadapi
kehidupan yang perit. Winnie yang sentiasa manis dengan senyuman. Senyuman yang
menyembunyikan luka lara dalam perjalanan hidup berkeluarga.
Kebencian mula membara dalam hati
anak- anak. Namun bagi Daniel semua itu hanya karut dan dia yang berkuasa
terhadap kehidupan anak- anaknya. Kuasa di tangan sebagai seorang ayah. Tapi
Daniel lupa bahawa kuasa itu bukanlah kuasa pada rentak kehidupan yang akan
dilaluinya di usia senja nanti. Daniel bertambah lupa diri. Sejak pemergian
Winnie, Daniel mula rancak dengan dunia hiburannya. Kalau dulu dia hanyalah
sekadar memberontak kerana marah dengan ibu bapa yang mengikat dirinya dengan
perkahwinan pilihan. Marah dengan Winnie yang hanya menurut perintah orang
tuanya. Kini dia tidak peduli lagi. Ego yang semakin membesar dalam diri.
“Sesiapa yang tidak mahu mendengar
cakap saya boleh keluar dari rumah ini,” tengking Daniel pada anak- anaknya.
Alex, John dan Flora hanya memandang ayah mereka dengan pandangan sepi. Sepi
walau mentari bersinar lembut. Tiada yang mahu membalas kata- kata itu. Kata-
kata dari seorang lelaki yang egois. Lelaki yang telah membiarkan ibu mereka
menderita. Lelaki yang tidak pernah ambil peduli tentang kehidupan mereka. Syukur
ada datuk dan nenek yang sentiasa berada di sisi. Hanya kepada merekalah mereka
bertiga menumpang kasih. Untuk mengharapkan kasih seorang ayah, hanyalah ibarat
menanti batu bersinar menjadi mutiara. Mustahil.
Sikap Daniel yang sangat mementingkan
diri membuatkan anak-anak semakin jauh darinya. Dia sendiri tidak pernah ambil
tahu tentang mereka. Baginya mereka bukanlah bibit cinta sejatinya. Hadir tanpa
diundang sekadar satu ukiran bagi menghiasi ruang kehidupan. Bukti egois bahawa
dia memang seorang lelaki yang sempurna.
Jika dahulu dia berkahwin dengan wanita pilihannya pasti mereka sekarang
hidup bahagia. Namun kekasih hatinya telah mendapat kemalangan pada hari
perkahwinannya dan ini menambah rasa benci Daniel pada perkahwinan yang tidak mendapat
restu dihatinya.
Daniel
asyik mengungkit dan menyalahkan takdir di atas kehidupan yang bukan
pilihannya. Dia menjadi semakin egois dan pantang jika kata- katanya di balas. Pasti
gunung berapi akan memuntahkan lavanya tanpa tujuan yang jelas jika api
kemarahan mula mengganas. Semua orang pasti akan menjadi mangsa kepanasan lava
itu. Sikap yang tidak mahu diubah yang kononnya sudah sebati dalam diri Daniel.
Namun masa berputar tanpa mengenal
perhentian. Satu perjalanan yang akan berterusan dan tiada siapa yang boleh
menghentikannya. Akhirnya, Daniel kalah pada masa. Hari tuanya yang kelam dan
hanya sebatang pokok tua tanpa dahannya. Kini dia hanya berseorangan di rumah
besar putih di atas bukit. Tanpa sesiapa. Ibu bapanya telah lama meninggal. Sejak
kematian isterinya, anak- anak menjauhkan diri dan akhirnya hilang dengan arus
kehidupan masing- masing. Terluka membawa diri jauh dari pandangan sang ayah.
“Daniel, aku akan bantu kau mencari
anak- anak kau”, pujuk Joni jiran Daniel. Jiran yang pernah berkali- kali
ditengking oleh Daniel di suatu ketika dahulu. Namun Joni tetap setia
bersahabat dengan Daniel. Mereka bukan sahaja berjiran tetapi rakan sekelas dan
bersahabat semasa di universiti dahulu. Joni tahu bahawa Daniel berubah kerana
tidak dapat menerima takdir hidupnya. Daniel yang bertahun asyik menyalahkan
ibu bapa dan isterinya di atas kemusnahan rancangan masa hadapannya. Daniel
lupa bahawa hidupnya sangat sempurna dengan kehadiran Winnie dan tiga cahaya
mata mereka namun Daniel dikaburi oleh cintanya yang hendak dibuktikan kepada
sang kekasih yag diselaputi batu ego yang tebal.
Di atas katil, Daniel hanya terkulai
layu tanpa dapat banyak bergerak. Nafasnya perlahan dan tanpa bantuan mesin
nafasnya tidak dapat berirama dengan jelas. Dia takut tidak dapat bertahan
lagi. Dia berusaha untuk menguatkan celikkan mata kerana dia tidak mahu
tertidur untuk selama- lamanya. Dia mahu melihat anak- anaknya sebelum dia
pergi. Sejak menyedari kesilapannya, dia sudah terlambat. Anak- anak telah
pergi jauh meninggalkannya. Hanya doa yang dapat dia titipkan agar anak-
anaknya akan berlembut hati dan datang mengunjunginya buat kali terakhir.
“Daddy,
kami datang.” Suara Alex garau kedengaran. Flora dan John turut berada di sisi.
Anak- anak yang telah dewasa. Daniel telah terlepas perjalanan hidup anak-
anaknya sedari kecil. Dia tidak mempunyai cerita atau memori indah bersama
mereka untuk dikenangi oleh anak- anaknya. Tunduk dan akur pada ego akhirnya
memakan diri sendiri. Daniel kehilangan episod indah dalam cerita perjalanan
hidupnya sebagai seorang ayah.
“Maafkan
Daddy. Alex… Flora… John… daddy sedar selama ini daddy banyak menyakitkan hati kamu semua.
Malah daddy juga telah membuatkan mummy kamu hidup derita.” Perlahan suara
Daniel tetapi jelas beralun dalam nada penyesalan. Suara yang tersekat- sekat
pada aluran kerongkong dan sangat perit untuk memuntahkan kata- kata itu kerana
titik noktah kehidupan semakin menghampiri. Ketiga- tiga anaknya hanya
mengganguk perlahan.
“Kami sudah lama memaafkan daddy… atok dan nenek mengajar kami agar
hidup dengan menghargai apa yang ada dan mensyukuri kehidupan sendiri.
Memaafkan dan belajar melupai masa lalu. Pergilah dengan tenang daddy.” Kata- kata yang sangat indah
kedengaran di telinga Daniel. Ibarat alunan muzik lembut yang mendayu- dayu
menenangkan hati dan fikiran.
Daniel
tersenyum. Bertahun- tahun dia menderita kerana menyesali semua tindakannya
terhadap arwah isterinya dan pada anak- anaknya membuatkan hati tuanya tidak
pernah tenang. Kini dia boleh tesenyum pada penghujung nyawanya.
------ TAMAT ……

Comments