Cerpen Di hatinya Ada Aku Oleh Salvia Rose

Disiarkan dalam Harian Ekspres 
Ruangan Sastera & Budaya pada 29 Oktober 2017

Tajuk Cerpen : Di hatinya Ada Aku
Penulis : Salvia Rose

Aku tidak pernah memaksa sesiapa untuk menyayangi diri ini. Aku dilahirkan seadanya. Aku tidaklah secantik ratu dunia apatah lagi seayu anak dara jiranku di kampung. Aku tetap bersyukur kerana cukup akal dan anggota. Aku mampu untuk berdikari dan aku bebas untuk mengutip kasih sayang yang sentiasa berlimpah di luar sana. Semuanya terletak di tanganku sendiri untuk memilih. Namun aku memilih untuk tidak memiliki kasih sayang itu, apatah lagi untuk menerima cinta itu.
Bella merenung jauh lautan yang terbentang luas di hadapannya. Diamatinya lautan biru dengan alunan ombak yang perlahan bermain-main memukul ke pantai. Seolah- olah mengusik pantai dengan hempasan dirinya sambil membawa pasir- pasir bersama namun bukan selamanya. Ditinggalkannya pasir- pasir itu terkapai berantakkan tanpa haluan yang pasti.
Rambut panjang hingga ke paras pinggang itu dibiarkannya ditiup angin. Bebas tanpa ikatan yang menyesakkan dan bebas tanpa catatan peraturan yang perlu dipatuhi. Bella mengambil telefon bimbit dari beg tangan kecil berwarna hijau yang disandangnya. Anak matanya tepat memandang skrin telefon bimbit yang tidak henti- henti bergetar menunjukkan tanda mesej masuk umpama jantung yang berdegup kencang.
Bella membuka satu persatu mesej yang terpapar pada watsup skrin telefonnya. Jari jemarinya yang lentik dengan kuku panjang berwarna merah jambu itu laju menari- nari di atas skrin kaca yang memaparkan huruf- huruf yang bermakna untuk dibaca. Senyuman terukir di bibir manis merah darah itu. Warna kegemaran Bella. Namun, mesej- mesej yang berkumandang masuk itu tidak menarik perhatiannya. 
Bella, kamu tidak mahu kahwin lagikah? Sudah lima tahun arwah Danny pergi meninggalkan kita.” Kata -kata ibunya ini selalu menghiasi cuping telinga Bella. Risaukan Bella yang hanya berseorangan membesarkan dua orang anak gadisnya, Quinnie dan Quinna. Hati ibu mana yang tidak terdetik kerisauan melihat anaknya bersendirian menempuh ranjau kehidupan yang penuh dengan simpang cabaran. Hati tuanya tidak tenteram. Dia mahu mengakhiri hari tuanya tanpa merisaukan Bella namun hati seorang ibu tidak akan dapat menghakis perasaan yang sentiasa risaukan anaknya. Dia tahu Bella seorang anak yang kental dengan semangat yang sentiasa membara. Seorang wanita yang tidak mudah berputus asa dan tiada lautan api yang dapat menghalang langkah hidupnya. Namun, pilihan corak hidup seterusnya adalah di tangan Bella sendiri. Sebagai ibu dia sangat menghormati keputusan yang diambil oleh Bella. Sebagai ibu, dia hanya dapat mendoakan yang terbaik untuk anak perempuannya itu.
Bella hanya tersenyum setiap kali ibunya menyebut tentang perkahwinan. Adakalanya Bella terasa kelucuan seolah- olah dia adalah anak gadis yang ditanya bila akan berkahwin. Padahal usianya sudahpun mendarat ke angka 40 tahun. Daratan yang sempurna sekali. Anak gadisnya Quinnie pula sudah berusia 17 tahun dan Quinna 15 tahun. Walaupun tanpa lelaki di sampingnya lagi, Bella merasakan hidupnya sudah cukup sempurna dengan kehadiran dua orang anak gadisnya itu. Dia tetap berbahagia kerana teman- teman rapat juga sentiasa ada di sisinya. Kesepian hidup sentiasa terisi dengan kepadatan kasih sayang orang-orang di sekeliling. Hatinya sudah memutuskan untuk tidak berkahwin lagi dan banyak rencana kehidupan yang dirancang di hadapan selagi degupan jantung berirama.
Kalau disentuh soal cinta, bagi Bella hatinya sudah tertutup untuk menerima lelaki lain bertapak menggantikan arwah suaminya. Bahkan bukan setakat tertutup rapat tetapi telah dimangga dan kuncinya dibuang jauh ke lautan Cina Selatan. Tenggelam jauh di dasar laut dan tidak dapat ditemui lagi. Hilang tanpa dapat dikesan. Cinta baginya di usia ini hanyalah bintik- bintik pada wajah yang menampakkan kejanggalan dan asing di matanya sendiri. Bukan bererti yang berusia tidak boleh bercinta namun bukan dia.
Menjadi seorang ibu tunggal bukanlah mudah di bahu Bella. Dalam melayari kehidupan, dia banyak menerima cabaran yang selalu di luar jangka. Watsupnya tidak pernah kering dengan mesej- mesej dari lelaki yang ingin mengusiknya antara jujur dan gurauan. Bella menghadapinya dengan tabah dan kesabaran itulah yang menjadikannya lali dengan permainan cinta di luar sana. Suara- suara nakal teman sekerja dan kawan- kawan lelaki di sekeliling dianggap sekadar satu gurauan yang singgah menjenguk sebelum berlalu pergi. Dia langsung tidak menyimpannya di hati. Tidak memberikan apa-apa kesan pada hatinya yang kaku.
Mummy…mummy...” Suara Quinnie menyedarkan Bella dari lamunannya. Hilang tayangan filem yang bermain dalam layar ingatannya. Bella memandang anak gadisnya itu sambil melemparkan senyuman manis dan Quinnie membalas senyuman ibunya itu. Kemudian, pandangan Bella beralih kepada anak sulungnya. Dia tertawa kecil melihat Quinna pula dengan trend remaja sekarang, mengambil swafoto dan kemudian mengambil gambar makanan yang terhidang di atas piring. Pastinya gambar itu akan dimasukkan dalam instragram atau facebook. Bella tersenyum bahagia melihat telatah anak- anak gadisnya itu. Anak-anak dunia teknologi. Sebagai ibu, dia sentiasa menasihati dan memantau arus teknologi yang mengalir bersama- sama dengan pembesaran anak- anaknya. Bagi Bella, kita yang seharusnya menguasai teknologi, bijak dalam membahagikan masa dengan dunia teknologi dan bukan membiarkan teknologi yang menguasai hidup kita.
Jom wefie,” ajak Bella pada anak- anaknya setelah mereka selesai makan. Bella memegang telefon bimbitnya dan kedua anaknya segera mengambil posisi di kiri dan kanannya sambil memeluknya erat. Wajah Bella tetap ayu dan kemanisan tetap terpancar walau sudah berusia. Lebih indah dari mentari pagi yang bersinar. Pasti tetap ada lelaki yang akan terpanah dengan keayuan dan tutur bicaranya yang lembut. Wefie diambil untuk dipahat sebagai kenangan. Mungkin ada orang beranggapan bahawa mengambil gambar swafoto dan wefie adalah satu tabiat yang menunjuk- nunjuk, namun bagi Bella gambar- gambar yang diambil adalah tanda kenangan yang tidak akan berulangnya masa, hari dan tahun. Semua akan berputar meninggalkan hari semalam dan hari- hari baru sentiasa berganti. Yang akan tinggal hanya memori yang dipahatkan dalam bentuk gambar kenangan.
Beginilah kehidupan Bella. Bila sahaja ada terluang di hujung minggu, dia akan membawa anak- anaknya berjalan- jalan. Baginya saat bersama dengan mereka adalah saat terpenting dalam hidupnya dan melihat anak- anaknya yang membesar dengan cepat tanpa disedari membuatkan Bella mahu mengumpul banyak memori indah bersama. Bella pasti di kemudian hari nanti, anak- anaknya akan mempunyai perjalanan yang berbeza untuk meneruskan kehidupan. Langkah kehidupan dewasa dalam membina lakaran kebahagian masing- masing.
Bella, apakah you tetap dengan keputusan you?” Bella merenung wajah Noah. Mereka adalah rakan sekerja sejak 20 tahun yang lalu. Noah merupakan pengurus di syarikat percetakkan Noah Printing Sendirian Berhad itu. Dalam erti kata lain, dia merupakan pemilik syarikat itu. Bella pula merupakan setiausahanya. “I’m sorry. I harap you dapat memahami”. Lembut bicara Bella beralun ke telinga Noah. Mereka bersarapan bersama di kedai kopi yang letaknya di bawah pejabat syarikat. Rakan- rakan sekerja lain sudah naik ke pejabat untuk memulakan tugas.
            Noah sehingga kini belum berkahwin. Status bujang terlajak dipegangnya bersama dengan rakan-rakan yang lain di syarikat itu. Ramai wanita yang cuba untuk mengetuk pintu hatinya, namun hatinya tidak terbuka untuk wanita lain. Cinta itu bukanlah sesuatu yang boleh diberikan pada sesiapa yang menyukai kita tetapi cinta itu harus benar- benar pada insan yang kita sukai walau tidak dapat memilikinya.
Noah pernah jatuh cinta pada seorang wanita namun tidak dapat memilikinya dan wanita itu tidak pernah tahu akan cintanya. Dia pasrah untuk mendiamkan rasa cintanya kerana wanita yang dicintainya sudahpun mempunyai lelaki lain terlebih dahulu. Noah jujur dalam mendoakan wanita yang dicintainya menikmati kebahagiaan dengan pilihan hidupnya sendiri.
Noah merupakan sahabat arwah suami Bella. Dalam diam sebenarnya Noah menyintai wanita yang dicintai sahabatnya itu. Cuma bezanya dia tidak memiliki wanita itu kerana hati Bella telah dimiliki oleh Danny. Noah tetap tabah melihat wanita yang dicintainya berkahwin. Hatinya berkecai namun dia tetap bahagia melihat senyuman Bella yang sentiasa terukir dalam melayari bahtera rumah tangga sehinggalah dikurniakan dua orang anak. Cintanya pada Bella dikubur jauh dan batu nisannya tidak dapat dikesan oleh sesiapapun.
Pemergian Danny lima tahun yang lalu membuatkan Noah semakin rapat dengan keluarga Bella. Namun Noah tidak pernah mengambil kesempatan. Dia tetap dengan sikapnya yang cool dan setenang sungai yang mengalir perlahan airnya. Cinta sebenar tidak perlu diwar- warkan dan menuntut balasan tetapi tetap memberi perhatian dan kasih sayang dalam senyap. Bagi Noah, dia tidak perlu meluahkan rasa cintanya pada Bella dan apa yang diinginkan ialah Bella menyedari sendiri akan pelangi cintanya. Noah bukan mencari kesempurnaan cinta. Rasa cintanya yang telah lama terukir tidak perlu dicetak pada batuan.  Dia tetap bersedia andainya Bella tidak menerimanya kerana dia tahu Bella sangat mencintai arwah Danny.
Penolakkan lembut Bella tidak mematahkan hatinya untuk tetap memberi perhatian dan kasih sayang pada anak- anak dan ibu Bella. Walau tidak dapat memiliki namun dapat memberikan kebahagiaan tanpa ikatan sudah cukup bagi Noah. Dia tahu persahabatannya dengan Bella yang telah memberinya peluang untuk sentiasa berada di samping Bella sekeluarga. Noah tahu di luar sana, ada teman- teman mereka yang juga meminati Bella dalam diam. Hanya yang membezakan adalah kedudukan cinta itu. Antara cinta yang sebenar atau hanya untuk mencuba nasib untuk memiliki Bella.
It’s okay Bella.” Perlahan suara Noah membalas kembali kata- kata Bella tadi. Dia berdiri dan menghulurkan tangannya pada Bella. “Kita tetap kawan baik selamanya,” katanya sambil mengukir senyuman ikhlas. Bella tersenyum dan bangun menyambut tangan itu. Mereka bersalaman dan tiba- tiba Bella memeluk Noah. Dia menangis terisak- isak. “Terima kasih kerana you memahami dan sentiasa menjadi kawan baik I.” Noah tersenyum. Hatinya terpancar bahagia dan tetap tidak rasa terluka.
Persahabatan yang indah sekali. Walau ada rasa cinta namun keutuhan jalinan persahabatan itu tidak tergugat. Aliran air terjun yang mengalir tetap deras tanpa ada batu dapat menghalang. Bella berasa sangat bersyukur. Dia terharu dengan sikap Noah yang sentiasa mengambil berat dan baginya sahabat seperti Noah sukar dicari. Noah yang sentiasa baik pada anak- anaknya dan ibunya. Tapi itulah Noah yang dikenalinya 20 tahun yang lalu.
            Kesibukkan bekerja dan aktiviti anak-anak yang padat membuatkan Bella tidak pernah memikirkan tentang dirinya. Bagi Bella, dunianya hanyalah kerja dan anak- anak. Perkataan ‘sakit’ tidak ada dalam kamus hidupnya. Bella bersyukur kerana dalam usia 40 tahun dia tidak mengidap sebarang penyakit jika dibandingkan dengan rakan -rakan seusianya yang mengidap darah tinggi, kencing manis, masalah jantung dan berbagai lagi penyakit moden. Dua kali seminggu, Bella akan berjoging di Taman Tun Fuad bersama dengan anak- anaknya di waktu petang dan adakalanya Noah akan menyertai mereka. Walau dalam dunia yang padat, Bella tetap akan meluangkan masa untuk senaman bagi menjaga kesihatannya. Dia perlu sihat kerana perjalanan yang masih jauh perlu ditempuhi untuk melihat anak- anaknya menamatkan persekolahan, bekerja, berdikari dan mendirikan rumah tangga. Dia mahu melihat semua itu.
            Pada mulanya Bella agak terkejut apabila Noah melamarnya. Noah memberitahu bahawa tujuannya adalah kerana mahu menjaga mereka dan ikatan perkahwinan akan lebih menyelesakan agar mata- mata jiran yang memandang serong akan bertukar menjadi pandangan biasa. Tertawa Bella mendengarnya. Hidup ini adalah percaturan sendiri dan jangan biarkan orang lain yang mengerakkan buah catur kita di papan catur kehidupan. Mungkin ada yang tidak suka melihat Noah yang sering melawat ibu dan rapat dengan keluarganya. Apatah lagi dengan status Bella sebagai ibu tunggal. Seorang Balu.
Sudah lumrah dunia, bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang dan yang penting kita tahu apa yang kita lakukan adalah betul. Mengapa perlu tunduk pada pandangan dan kritikan orang sekeliling. Biarlah mulut- mulut itu berbuih untuk mengata. Suatu hari nanti bila buih- buih itu akan menjadi basi, mulut- mulut itu dengan sendirinya akan berhenti berbuih.
Detik masa yang beredar, dalam diam Bella mula menyedari dedaun yang bergoyang itu tidak goyang dengan sendirinya.  Cinta itu seperti tiupan angin. Kita tidak dapat melihatnya tetapi akan dapat merasakannya. Itulah yang mula disedari oleh Bella. Selama ini dia menganggap kasih sayang dan perhatian yang diberikan oleh Noah adalah atas dasar persahabatan. Kasihankan dirinya dan anak- anaknya. Namun, dia mula merasakan bahawa di hati Noah ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Semua perhatian dan sayang yang ditunjukkan oleh Noah bukan sekadar seorang sahabat tetapi ada tersirat di sebalik yang tersurat.
Maafkan I Noah. I memilih untuk tidak menerima kasih sayang yang you berikan lebih dari seorang sahabat.” Bella berbisik perlahan di dalam hatinya. Adalah lebih baik berpura- pura tidak menyedarinya dari menunjukkan sikap sedar dan akhirnya persahabatan itu menjadi canggung.  Hambar dan semakin kaku kerana rasa hati yang terdedah dan tidak berbalas. Bella tidak mahu melukakan Noah. Biarlah dia tahu dalam diam dan merasai tiupan cinta itu tanpa disedari oleh Noah.
Di hatiku tidak ada sesiapa yang akan bertapak lagi. Kosong dan kekosongan itu akan tetap kosong selamanya. Biarlah putaran masa yang menentukan kekosongan ini.” Bella menghembuskan nafasnya perlahan- lahan. Lapang. Bebas. Itu yang dirasakannya kini. “Terima kasih untuk cinta itu. Walaupun di hatimu ada aku tetapi di hatiku yang ada hanya anak- anakku”.

 …..Tamat …..

Comments

Popular posts from this blog

Buku Antologi Cerpen 7 Tahun Mencintaimu Oleh Penulis- Penulis Sabah

Cerpen AKU INGIN TERBANG TANPA SAYAP Oleh Rose Salvia

Cerpen Cinta Si Duyung Oleh Salvia Rose