Cerpen Syukuri Ujian Oleh Salvia Rose
Disiarkan dalam Harian Ekspress
Ruangan Sastera & Budaya 1 April 2018
Tajuk Cerpen : Syukuri Ujian
Penulis : Salvia Rose
Hati
kecil ini dulu sering mengeluh, menyalahkan takdir yang memberikan ujian yang
tidak dapat dialun dengan ketabahan yang ada. Hanya kepentingan diri sendiri
yang kujaga. Aku tidak mahu peduli hal orang lain kerana mereka bukan aku. Aku
mahu takdir yang menimpa diubah dan dianjak kepada orang lain. Aku marah dengan
realiti yang pahit dan aku tidak mahu terus bergelumang dengannya.
Anak
perempuanku yang berusia lima tahun duduk di sebelahku dan tumpuannya hanya
pada anak patung beruang yang baru kubeli sebelum datang ke klinik ini.
Perhatianku tertumpu pada wajahnya yang polos dan suci. Anak yang belum
mengerti tentang dunia yang luas di hadapannya. Dunia yang pasti akan memberi
kelukaan sepanjang perjalanan hidupnya.
Hatiku
tiba- tiba sebak. Anak ini kulahirkan normal, tiada cacat celanya. Aku gembira
menerima kehadirannya dalam hidupku. Kucanang pada saudara mara dan kawan-
kawanku bahawa anakku yang comel inilah duniaku, nyawaku. Aku bangga kerana
kehadirannya mengubati luka di hatiku. Luka dihati kubalut untuk anak ini
kerana aku mahu dia membesar menjadi yang baik dari yang terbaik, impian semua
ibu yang mahukan kebahagiaan dan sinar masa depan yang cerah untuk anak- anak
mereka.
“Puan,
maafkan saya. Berdasarkan keputusan dari semua ujian yang telah dilakukan. Anak
puan telah disahkan kehilangan pendengarannya.”
Kata-
kata itu masih terngiang- ngiang di telingaku dan sentiasa bermain dalam kotak
fikiran ini. Kata- kata yang membaham kebahagiaan dan menusuk jauh menikam
hati. Aku mengalami kelukaan yang bertindih. Aku ditinggalkan oleh seorang
lelaki kerana memiliki anak yang tidak sempurna bagi meneruskan waris
keluarganya. Pelbagai kata hinaan aku terima kononnya aku pembawa petaka hingga
melahirkan anak ini. Aku sememangnya bukan menantu pilihan tetapi mengapa anak
ini yang dijadikan alasan untuk menolak aku jauh. Anak ini disahkan kehilangan
pendengaran dan aku terkulai jatuh keseorangan tanpa ada keluarga yang
menyambut aku tersungkur.
Keluargaku
jauh dariku dan aku terkapai keseorangan. Gelak tawa dan keceriaan anak kecilku
membuatkan aku kuat untuk bangkit walau aku keseorangan. Aku tiada tempat
mengadu. Aku menelan kepahitan perjalanan yang seterusnya seorang diri.
Rawatan
susulan di klinik kanak- kanak tetap aku hadiri walau dengan hati yang sedih.
Sebagai ibu, aku mahu yang terbaik untuk anak ini. Sudah tiga kali aku membawa Sabella
ke hospital untuk pemeriksaan seterusnya. Kini aku datang dengan hati yang
redha pada ujian yang diberikan padaku. Aku mula menyelami dan mengikut rentak
cabaran yang terbentang luas walau dalam keperitan. Kutahan segala kesakitan
untuk satu- satunya anakku ini.
Hari
pertama aku datang ke sini, aku hanya menyalahkan takdir. Namun, seorang wanita
yang datang bersama anaknya yang dilahirkan degan kecacatan saraf telah membuka
hati ini.
“Dik, bersyukur dengan ujian yang diberikan,
Anak ini adalah anak syurga yang hanya dipinjamkan untuk kita. Bukan semua ibu
terpilih untuk menerima cabaran ini. Ketabahan yang sangat tebal diperlukan
dalam membesarkan anak syurga ini.”
Aku
hanya terdiam. Kuperhatikan dia mendukung dan memeluk anaknya yang hanya
terkulai layu. Mencium dahinya dengan penuh kasih sayang. Hatiku tersentuh.
Anakku
hanya kehilangan pendengaran, semua anggota badannya yang lain berfungsi dengan
baik, tidak seperti anaknya yang hanya hanya berbaring di kerusi panjang klinik
tanpa dapat mengerakkan badan. Aku
kalah. Ujiannya lebih besar dari ujianku. Di luar sana ramai lagi yang menghadapi
cabaran yang lebih getir dari diri ini.
Air
mataku menitik. Aku mensyukuri ujian yang diberikan padaku. Aku mencium pipi
Sabella, aku memeluknya erat. Anak syurga ini akan kujaga hingga ke noktah
akhir hidupku.
Kini
semua itu hanya tinggal kenangan. Coretan- coretan cerita yang masih bisa
kulakar dengan tepat bila terkenang kembali perjalanan membesarkan Sabella.
Semuanya tetap tersimpan kukuh dalam kotak memori fikiranku.
Bahuku
disentuh dari belakang dan bila kumenoleh aku tersenyum melihat anak kecilku
yang sudah menjadi seorang anak gadis yang cantik. Aku membuat isyarat tangan
bertanya jika dia sudah bersedia untuk meneruskan langkah seterusnya yang lebih
besar cabarannya. Sabella ketawa kecil dan membalas pertanyaanku dengan isyarat
tangannya. “Ya mummy, saya sentiasa kuat
kerana mummy ada di samping saya.” Aku terus memeluknya dan menangis. Sabella
membalas pelukkanku dengan erat.
Aku
membiarkan Sabella bersalaman dengan kawan- kawan sekolejnya. Hari ini adalah
hari graduasi mereka. Sabella telah berjaya menamatkan pengajiannya di kolej
vokasional dan kini dia pemegang diploma dalam fesyen rekaan. Dia anak gadis
yang sangat berdikari dan sentiasa ceria walau dengan kekurangannya itu. Ketika
sekolah rendah dia bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas Pekak dan Bisu yang
terletak di daerah Tuaran, kemudian menyambung sekolah menengahnya di daerah
Penampang yang mempunyai kelas Pendidikan khas bagi mereka yang menggunakan
bahasa isyarat untuk berkomunikasi. Selepas itu, dia melanjutkan pelajaran di
kolej vokasional dan mengambil bidang fesyen rekaan. Bidang yang dia minati
dari kecil. Aku masih ingat lagi Sabella mempunyai koleksi pakaian patung yang
dijahitnya sendiri sejak di sekolah menengah.
Aku
bangga dengan Sabella yang sentiasa kuat dalam perjalanan hidupnya. Dia tidak
mengendahkan dirinya yang diejek dan dia sentiasa cuba mengambil hatiku agar
tidak menangis melihat dirinya yang kekurangan. Dia sememangnya seorang anak
yang baik. Aku sebagai ibu kadang- kadang kalah dengan pancaroba di luar, kalau
boleh aku ingin melindungi anak ini dari dunia luar. Aku takut dia terluka dan
dihina kerana kekurangannya. Namun, Sabella sentiasa kuat. Dia juga banyak
memberi kekuatan padaku. Aku tertawa sendiri bila teringat kembali Sabella
memberitahuku bahawa bukan semua orang di luar itu jahat dan bukan semua orang
yang bermuka manis itu baik.
Tamat
pengajian, Sabella bersama dengan dua orang kawannya, yang dilahirkan dengan
kecacatan pendengaran mula membuat perniagaan kecil- kecilan dari rumah. Aku memberikan
mereka sebuah bilik kosong untuk dijadikan tempat menjahit dan memulakan
perniagaan mereka. Joey dan Nisha akan datang setiap hari ke rumahku seawal jam
7 pagi untuk memulakan kerja- kerja mereka. Aku perhatikan mereka memang
terancang dalam membuat kerja. Mereka membuat iklan menjahit di laman web dan
mereka juga menerima tempahan dari hotel- hotel untuk menjahit langsir.
Sejak
bersara dari dunia Pendidikan, aku banyak menghabiskan masa dengan berehat di
rumah. Duniaku kini hanya pada dunia penulisan. Satu dunia yang kucipta sendiri
dengan plot cerita yang membuatkan diri ini menyelami jauh ke dalam setiap
babak cerita yang kuorentasikan di dalam komputer ribaku. Setiap kehidupan
watak berada di jariku, kekuatan seorang penulis yang mampu mencipta sebuah
dunia.
Jari-
jariku petah bertutur apabila berhadapan dengan huruf- huruf pada papan kekunci
komputer ribaku. Semuanya dimuntahkan dari kotak fikiranku yang tidak jemu
berkongsi tentang dunia kehidupan. Aku gembira kerana walau dalam usia ini aku
masih mampu berbakti melalui buku- buku yang aku terbitkan.
Aku menyandarkan diri pada sofa di
hadapan meja tulis. Aku mahu merehatkan diri seketika sebelum menyambung semula
novel yang sudah hampir ke penghujung ceritanya. Mataku memandang gambar di
sisi meja kecil yang terletak di sisi sofa, gambar Sabella ketika dia berusia
tujuh tahun. Ingatanku terus melayari satu kisah yang membuatkan hati seorang
ibu menangis hiba.
Ketika itu, aku membawa Sabella ke
padang permainan kanak- kanak. Sabella melompat- lompat kegirangan di sebelahku
melihat ramai kanak- kanak yang seusia dengannya sedang bermain di taman itu.
Aku melepaskan Sabella dan dia terus berlari ke arah sebuah buaian yang kosong.
Aku tersenyum memerhatikannya dan duduk di kerusi panjang yang berhadapan
dengan buaian tersebut.
Datang
sekumpulan kanak- kanak yang seusia Sabella dan mereka kelihatan sedang
berbincang untuk bermain kejar- mengejar. Sabella kulihat mendekati kumpulan
itu dan senyum pada mereka. Kanak- kanak itu juga menyambut kedatangan Sabella
dengan senyuman. Salah seorang dari mereka tiba- tiba bertanya pada Sabella.
“Siapa nama kamu?” Sabella hanya
tersenyum dan membalas dengan isyarat tangan. Semua kanak- kanak di situ senyap
seketika dan salah seorang dari mereka bersuara. “Oh si Pekak rupanya! Tak mahu
kawanlah.” Dia menolak bahu Sabella dan berlari bersama dengan kanak- kanak
yang lain meninggalkan Sabella keseorangan. Kulihat Sabella tertunduk dan dia
berjalan menuju ke arah buaian tadi dan bermain seorangan.
Aku
menyaksikan peristiwa di depan mata itu dengan hati yang terluka. Aku menangis
dan tidak kusedar aku meraung. Aku sangat kecewa. Apalah salahnya anak kecil
ini. Dia memang kekurangan kerana telah kehilangan pendengarannya ketika berusia
lima tahun. Atas kecuaian pembantu rumahku, dia telah terjatuh dari tangga dan
kokleanya cedera.
Aku
kalah bila melihat Sabella diperlakukan begitu. Aku mahu menyembunyikan anak
ini dari dunia luar yang menyakitkan. Hati seorang ibu yang meronta mahu
melindungi anaknya dari menghadapi dunia sebenar. Tangan kecil Sabella
menggelap air mataku yang tumpah membuatkan aku tersentak. Sabella tersenyum
padaku dan memelukku. Aku menangis kembali dan aku dapat mendengar esakkan
kecil anakku. Aku berdoa agar tuhan dapat memberikan pendengaranku pada
Sabella. Aku mahu dia cukup dan tidak kekurangan lagi. Biarlah aku yang tidak
boleh mendengar, tapi bukan anak kecil ini yang masih mempunyai perjalanan
kehidupan yang jauh.
Sabella
menarik tanganku dan membawa aku pulang. Dia sempat membuat isyarat tangan
padaku. “Mummy, jangan susah hati.
Sabella tidak apa- apa.” Dia tersenyum dan kulihat dia mengelap air matanya
menggunakan hujung lengan bajunya. Aku kembali memeluknya. “Oh Sabella, anak mummy. Sabella memang anak yang kuat,” bisikku ke
telinganya. Walaupun aku tahu dia tidak dapat mendengarnya namun kutahu dia
tahu bahawa aku sangat menyayanginya.
Bahuku
disentuh dan aku membuka mataku. Rupanya kenangan lalu membuatku terlelap
seketika. Sabella tersenyum padaku dan memelukku. Dia membuat isyarat tangan “Sabella sayang mummy.” Aku tersenyum.
Kini
aku tidak risau lagi bila aku dijemput dari dunia ini suatu hari nanti. Aku mampu pergi dengan tenang kerana Sabella
kini seorang anak gadis yang sangat berdikari. Aku mahu dia terus berjaya dalam
hidupnya. Bulan hadapan Sabella akan melangsungkan perkahwinan dengan seorang
anak muda yang baik budi pekertinya, menerima kekurangan Sabella dan
menyintainya setulus ikhlas. Aku gembira kerana Sabella berjaya mengatasi cabaran
dalam hidupnya walau dia kekurangan. Anak syurga ini telah berjaya membuktikan
pada masyarakat bahawa mereka juga boleh berjaya dan menjalani hidup bahagia
seperti insan normal yang lain.
Dalam
coretan novelku, ‘Dia Yang Satu’ yang akan diterbitkan penghujung Mei ini,
kutulis satu perkongsian. Janganlah jadikan anak yang dilahirkan dengan kekurangan
itu satu beban dalam hidup. Hargailah mereka dan berilah mereka kasih sayang
seperti anak- anak yang lain. Mereka adalah anak syurga yang dipinjamkan kepada
kita untuk mengajar kita menjadi lebih tabah. Terima kasih tuhan kerana
mengurniakan anak syurga kepada ibu ini.

Comments