Cerpen TANGISAN YANG TERLEWAT Oleh Salvia Rose
Disiarkan dalam Harian Express
Ruangan Satera & Budaya
10 Mac 2019
Rasa hatinya mendidih seperti gunung berapi yang baru memuntahkan lava panasnya. Kain basahan dihumbannya kasar ke dalam mesin basuh. Piring dan cawan berdesing bunyinya bila dihentak masuk ke dalam sinki, berlaga sesama sendiri mengeluarkan bunyi yang menyakitkan seolah pertemuan mereka di dalam sinki itu akan berakhir dengan pecahan. Kedengaran langkah kasar hentakkan kaki mengalunkan bunyi rasa tidak puas hati dengan apa yang terjadi pada dirinya. Dia benci bila masa santainya dihantui dengan perasaan marah yang bertapak di hati. Dia cuba untuk bersabar namun dia tetap kalah dalam realiti yang terpaksa ditelan kepahitannya. Sejak ibu disahkan lumpuh separuh badan, semua tugas diserahkan kepadanya. Dia tidak kisah dengan semua itu, malah dia sanggup berkorban berpindah dari rumah sewa yang berdekatan dengan pejabat kerjanya dan berulang- alik sejauh 30km setiap hari. Namun apa yang dia kisah ialah sikap abang dan kakak- kakaknya.
Anak bongsu dari enam beradik itu merasakan dirinya dijadikan bahan bulian oleh abang dan kakaknya. Dia sayangkan ibunya tetapi hatinya tetap memberontak kerana rasa tidak puas hati dengan pembahagiaan masa dalam menjaga kebajikan ibu mereka. Mengapa dia seorang saja yang harus menjaga ibu sedangkan ada anak- anak ibu yang seramai empat orang lagi. Hatinya bertambah rona merah dengan sikap mereka yang mementingkan diri dan jarang melawat ibu mereka.
Di awal waktu, bukan main lagi semua adik-beradik itu bersemangat mahu menunjuk dalam memikul tanggungjawab menjaga kebajikan ibu mereka. Abang Lan bertekak dengan Kak Bon untuk mengambil ibu tinggal di rumahnya di bandar agar mudah mendapatkan rawatan. Kak Jan dan Kak Ana pula mahu pengiliran dibuat dalam menjaga ibu agar semua anak dapat memberikan bakti. Namun itu semua hanya tinggal kata- kata yang tidak pernah terkota.
Bila ibu membuat keputusan untuk tinggal di rumah sendiri, semua mula melepaskan tanggungjawab pada adik bongsu mereka. Semua alpa pada tanggungjawab yang seharusnya menjadi amanat pada anak- anak. Betullah kata- kata yang sering didengar bahawa seorang ibu boleh menjaga sepuluh anaknya tetapi sepuluh anak belum tentu boleh menjaga ibu yang seorang. Kasih sayang yang lantang diucap itu rapuh pada zahirnya. Abang dan kakak menyerahkan semuanya bulat- bulat kepada adik bongsu mereka yang belum lagi mendirikan rumahtangga dengan alasan belum mempunyai komitmen pada keluarga.
“Bagus jugalah mama tinggal di kampung. Eva pun belum berkahwin dan daripada menyewa, baik tinggal saja dengan mama. Jadi bolehlah tengokkan mama sekali. Kami semua pun akan balik setiap minggu bergilir untuk membantu mana yang perlu.”
Kata- kata Kak Ana itu terus dibawa angin tanpa singgah pada mana- mana hentian. Kata- kata yang hanya diutarakan tanpa mahu dikotakan. Kata- kata sekadar berbasi untuk menunjukkan betapa bertanggungjawabnya orang yang menuturkannya. Akhirnya, kata putus yang diberikan oleh abang dan kakak- kakaknya setelah pertikaian berlaku di luar wad hospital semua berpihak pada Eva seorang.
“Sekarang inipun sudah moden. Kalau ada sesuatu berlaku semua di hujung jari sahaja. Mama boleh menghubungi kita jika dia perlukan sesuatu.”
Kata- kata Kak Jan yang disambut dengan anggukan kepala oleh Abang Lan, Kak Ana dan Kak Bon. Perbincangan adik-beradik dalam menentukan penjagaan ibu mereka tamat di situ.
***
Hari berganti minggu. Minggu berganti bulan dan bulan berganti ke bulan seterusnya. Belum pun setahun, semua janji untuk melawat ibu di kampung hanya ibarat kata- kata manis untuk menyedapkan hati ibu di hospital ketika itu. Penggiliran setiap minggu yang dijanjikan hanya umpama taburan benih di pasiran pantai. Hilang disapu ombak tanpa membawa apa-apa erti. Kehadiran Kak Ana melawat ibu boleh dihitung jari. Manakala Abang Lan, Kak Jan dan Kak Bon kerap menjenguk tetapi itupun sekadar menunjukkan wajah dan tidak pun panas punggung sofa yang diduduk di rumah ibu. Semua seolah hanya membuat lawatan sosial untuk meninjau kawasan projek mereka.
Telefon bimbit yang diberikan kepada ibu pula hanya sekali sekala berbunyi memecah kesunyian rumah besar itu. Sebenarnya ibu memahami pergolakkan yang berlaku, tentang kepadatan aktiviti cucu- cucunya di sekolah dan tentang kesibukan kerja anak- anaknya. Walaupun ibu tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah namun ibu sedar apa yang berlaku. Ibu hanya mendiamkan diri, dalam diam hati ibu terluka walau dia tidak pernah meluahkannya. Eva melihat semua itu dan hatinya hancur dengan sikap abang dan kakak- kakaknya. Eva tahu bahawa ibu merindui anak- anaknya yang lain dan juga pada cucu- cucunya. Eva berusaha untuk menghiburkan hati ibu dengan membawanya bersiar- siar jika ada kelapangan namun Eva sedar bahawa dia tidak dapat membuatkan ibu menutup kerinduan pada anak- anaknya yang lain.
Dulu sewaktu ibu masih sihat, kampunglah yang menjadi tempat abang dan kakak- kakaknya menghantar anak- anak mereka setiap kali cuti persekolahan. Rumah ibu umpama medan untuk penjagaan anak. Ibu yang sudah pun sakit- sakit ketika itu hanya mampu tersenyum menerima cucu-cucunya dengan hati yang gembira walau sengal- sengal lutut terasa menyakitkan. Dia tetap melayan cucu- cucunya dengan penuh kasih sayang. Dia tetap bangun awal pagi untuk menyediakan sarapan cucu- cucunya. Semua kesakitan yang menemaninya menjadi kebal bila rumah kampung itu dipenuhi dengan keriangan dan telatah cucu- cucunya.
Kejadian ibu jatuh di kamar mandi dan diakhiri dengan kelumpuhan membuatkan rumah itu menjadi sepi walaupun semasa cuti sekolah. Eva tahu abang dan kakak- kakaknya tidak lagi menghantar anak- anak buahnya kerana ibu tidak lagi mampu untuk menjaga mereka. Eva faham semua itu walau tanpa diberitahu dan Eva tahu ibu juga berkecil- hati dengan perangai anak- anaknya itu. Di waktu sihat, anak- anak ibu mempergunakan ibu semasa cuti sekolah, sedangkan mereka pergi bercuti dan bergembira. Walau ibu tahu, dia tetap menerima kehadiran cucu- cucunya dengan gembira dan ibu tidak pernah mengeluh. Malah ibu tidak pernah meminta wang belanja dari anak- anaknya. Wang pencen yang diterimanya setiap bulan dari pencen arwah suaminya sudah lebih dari cukup untuk dirinya. Begitulah kasih sayang seorang ibu yang suci tanpa pernah mengharapkan apa- apa balasan. Namun hati Eva menahan amarah dengan sikap abang dan kakak- kakaknya yang seolah mengambil kesempatan di atas kebaikan ibu.
***
“Abang Lan, minggu depan abang kena datang jenguk ibu seperti yang abang janji. Eva akan berkursus selama seminggu. Eva hanya ingin ingatkan agar abang dan kakak- kakak tidak lupa nanti.”
Suara Eva perlahan tetapi telinga tua itu dapat menangkap dengan jelas. Sudah hampir setahun dirinya berkeadaan begini. Dalam usianya yang sudah tua mencecah angka 70 tahun, dia terasa dirinya hanya membebankan anak- anaknya. Kalau boleh dia ingin nyawanya ditamatkan sahaja dan pergi menemui arwah suaminya yang telah pun pergi meninggalkannya dua tahun yang lalu. Mata tua itu hanya memerhatikan sahaja tingkah anak- anaknya dengan hati sedih. Siapa yang mahu menjadi beban pada anak- anak? Siapa yang mahu menyusahkan darah daging sendiri? Kalau kesihatannya dipulihkan sudah pasti dia akan melakukan segalanya sendiri. Namun, kudratnya tidak mampu lagi untuk menolak takdir. Hatinya menangis menolak kenyataan itu tetapi dia tidak mampu melawan takdir. Untuk bergerak ke sana sini dia perlu menggunakan kerusi roda dan dia bersyukur kerana tangannya masih kuat untuk memusingkan roda pada tepi kerusi itu.
Hati ibu mana yang tidak sedih bila dirinya seolah dibuang oleh anak- anaknya. Air matanya menitik perlahan. “Mama memang lumpuh tetapi mata dan telinga mama masih mampu untuk melihat dan mendengar,” bisik hati kecil itu.
Air matanya bergenang dan perlahan dia menyeka air mata itu dengan hujung bajunya. Syukur dia hanya lumpuh separuh badan hingga ke paras pinggang. Tangannya masih bertenaga. Dia masih boleh menyuap makanan ke mulutnya. Dia juga masih mampu untuk mengurus diri walau agak kepayahan. Dia tidak perlu bergantung sepenuhnya pada bantuan kerana dia masih boleh memusing roda pada kerusi rodanya untuk bergerak ke sana sini di dalam rumah itu.
****
“Eva, kamu janganlah keterlaluan. Kursus kamu itupun bukannya jauh sangat. Kamu boleh juga ulang- alik. Kakak akan bergilir dengan yang lain untuk menjenguk ibu di waktu siang.” Marah Kak Bon apabila Eva meminta agar ada kakaknya yang boleh menjaga ibu semasa ketiadaannya. Batuk – batuk ibu yang sering menemani tidurnya sejak tiga minggu yang lalu merisaukan Eva. Walau sudah mendapatkan rawatan namun batuk itu tetap belum surut dan adakalanya ibu sesak nafas kerana batuk yang tidak berhenti- henti.
Ketika itu, ingin saja Eva menghempaskan telefon bimbit apabila mendengar kata Kak Bon, namun dia tidak juga sampai hati kerana memikirkan ketiadaan duit untuk membeli telefon yang baharu. Jika ikutkan perasaan nanti dia sendiri yang rugi. Dia cuba menenangkan diri dengan mendengar muzik. Dia terpaksa menahan sabar dengan telatah abang dan kakak- kakaknya itu. Bukan abang dan kakak- kakaknya tidak mampu menyediakan pembantu tetapi alasan bahawa mereka ada adik yang belum berkahwin dan ada saudara yang tinggal berjiran dapat melihat ibu ketika Eva pergi bekerja. Semua perkara dipandang mudah dan dianggap tidak penting oleh mereka.
Eva bersyukur kerana kursus yang dihadirinya tidaklah sehingga ke malam seperti yang dijadualkan. Semuanya dipadatkan pengisiannya di waktu siang bagi menggantikan kelas malam yang ditiadakan. Soal kepenatan tidak Eva hiraukan kerana apa yang dia mahu hanya ibunya tidak berseorangan apabila dia pulang nanti. Tamat sahaja majlis penyampaian sijil pada hari akhir berkurus, Eva segera pulang ke rumah. Majlis makan yang disediakan langsung tidak dihiraukan. Entah mengapa hatinya tiba- tiba terasa berat dan asyik terbayang ibunya. Eva cuba menghubungi ibunya melalui telefon bimbit namun tiada jawapan.
Setibanya di rumah, Eva terus meluru masuk. Dia melihat ibu terkulai layu di atas kerusi roda. Darah mengalir dari mulut ibu. Eva terus diburu panik.
“Mama…Mama…”
Eva mengoyangkan tubuh ibunya. Ibunya membuka mata perlahan dan mula kembali terbatuk- batuk.
“Eva.. kamu sudah pulang sayang.”
Eva terus menyikut ibu di belakangnya dan dengan perlahan mendudukkan ibunya di tempat duduk hadapan. Dia membaringkan kerusi ibunya agar ibunya lebih selesa semasa dalam perjalanan nanti.
“Mama ...bertahan ya…Eva bawa mama pergi ke hospital sekarang.”
Eva mencium dahi ibunya. Dia segera memandu keretanya laju menuju ke hospital. Bunyi batuk ibunya yang tidak berhenti- henti menambah gusar di hati. Pecutan kerisauan melihat darah semakin banyak mengalir dari mulut ibunya membuatkan Eva tidak melihat sebuah lori kontena semasa keluar dari simpang jalan kampung menuju ke jalan besar. Semuanya menjadi gelap.
“Maafkan kami. Kami tidak dapat menyelamatkan kedua- duanya. Mereka berdua telah kehilangan banyak darah di tempat kemalangan.”
Abang Lan, Kak Bon, Kak Jan dan Kak Ana meraung di wad kecemasan itu. Mereka berpelukan menyesali semua yang telah berlaku, mengabaikan ibu dan membiarkan adik bongsu mereka sendirian memikul tanggungjawab. Raungan memanggil ibu dan nama Eva meributkan keadaan di hospital itu apabila mereka melihat mayat kedua- duanya masih berpegang tangan ketika dikeluarkan dari ambulan.
Tangisan mula kedengaran semakin kuat.
…Tamat ……
CERITA INI HANYA REKAAN DAN TIADA KAITAN DENGAN SESIAPA.
Terima kasih kerana membaca cerita saya.
Comments